HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Julai 2021

Kes saman serangan seksual, pengikut setia Anwar salahkan Dr M lagi

Bekas staf, Yusoff Rawther membuat tuntutan saman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebagai punca timbul satu lagi kes serangan seksual melibatkan bekas stafnya, Muhammed Yusof Rawther.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengaitkan tuduhan terbaharu yang sedang dihadapi Ketua Pembangkang itu dengan peguam yang sebelum ini adalah pro kepada Dr Mahathir.

“Dikala ketika ini semua tertumpu kepada sosok tubuh Anwar Ibrahim sebagai orang yang paling layak mengambil jawatan Perdana Menteri, kini muncul Yusoff Rawther yang saya percaya telah diupah oleh seseorang untuk menggagalkan usaha berkenaan.

“Yusoff yang sebelum ini diwakili oleh peguam yang pro kepada Mahathir telah membuat ftnah terhadap Anwar dengan tuduhan serangan seksual terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Yusoff bertindak memfailkan tuntutan saman dan mendedahkan beberapa maklumat yang sensitif dalam tuntutannya terhadap Presiden PKR itu.

Dua tahun lalu Yusoff membuat laporan polis terhadap Anwar itu berhubung tuduhan sama, namun kes tersebut digugurkan Peguam Negara era pentadbiran Pakatan Harapan waktu itu, Tommy Thomas.

Abdullah Sani yang mempertahankan bosnya itu mendakwa fitnah sama juga diulangi bagi menyekat kemaraan Anwar yang dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Mudah untuk memahami perjalanan fitnah ini melalui sejarah pada garis masa bermula dari tahun 1998. Kerana pengulangan fitnah yang seakan sama telah berjaya membawa Anwar ke penjara. Dan kini 2021, sejarah itu cuba diulang semula. Ini petanda yang cukup kuat bahawa ada pihak yang tidak senang dan menggelupur,” katanya.

Untuk rekod, Anwar setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tuntutan saman daripada bekas stafnya itu dan lebih banyak mengkritik kerajaan ketika ini.

Dalam tuntutan saman tersebut, Yusoff memohon mahkamah mengatakan Anwar itu melakukan serangan seksual, selain gantirugi am, setimpal dan “aggravated damages” yang turut memasukkan kos sesi-sesi terapi yang dihadirinya ketika ini.

“Satu deklarasi bahawa Defendan (Anwar) telah melakukan atau memperlakukan serangan seksual dan/ atau beberapa perbuatan menceroboh ke atas diri Plaintif pada 2.10.2018 dan bahawa Plaintif adalah berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tanpa mengambil kira status Defendan,” kata pernyataan tuntutan relief yang dikemukakan itu.

Terdapat sembilan tuntutan semuanya daripada Yusoff terhadap Anwar, selain menuntut ganti rugi khas RM180 setiap sesi terapi dan yang masih terakru.

Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkemuka SM Mohamed Idris, berkata dia diperkenalkan kepada Anwar ketika pemimpin PKR itu melawat rumah arwah datuknya di Pulau Pinang pada 2 September 2019, kurang dari empat bulan selepas beliau dikurniakan pengampunan diraja bagi sabitan kes liwat.

Yusoff berkata sepanjang pertemuan tersebut, Anwar memberikan sebuah iPhone untuk dimasukkan butiran kontak, dan menawarkan peluang kerja dengan beliau.

“Kira-kira 20 minit selepas Defendan beredar dari kediaman Plaintif, Defendan telah menghantar servis pesanan ringkas (SMS) meminta Plaintif untuk menghubunginya melalui WhatsApp,” kata pernyataan saman tersebut.

Yusoff kemudian berkata mereka berdua mula berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp,dan kandungan penuh perbualan mereka akan didedahkan dalam perbicaraan.

Yusoff yang bekerja di pejabat banglo Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, di mana dia turut diberikan tempat tinggal, berkata dia tidak pernah menerima surat rasmi pelantikan namun diarahkan untuk mendapatkan sebarang tugasan melalui ketua kakitangan Abdul Rahman @ Abdul Manaf bin Abdullah.

Tiada ulasan: