HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Julai 2021

UMNO bukan lagi dalam era emas

SUARA MERDEKA

Menarik sekali tulisan Dr Kamarul Zaman Yusoff, Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), bertajuk “UMNO bukan lagi dalam era emas” dalam akhbar Utusan Malaysia Rabu lalu.

Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau bahawa keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu adalah keputusan tidak bergigi yang tidak membawa apa-apa kesan pun ke atas kedudukan kerajaan.

Ini kerana terbukti keputusan ini tidak diikuti oleh perletakan walau seorang pun Ahli-Ahli Parlimen UMNO dari jawatan mereka dalam kerajaan walaupun penarikan balik dan penamatan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri diumumkan sebagai bersifat “serta-merta”.

Malah sebaliknya kesemua mereka masih kekal berada dalam kerajaan, termasuk terbaru pengumuman semua Menteri Kabinet, termasuk sembilan Menteri UMNO, bahawa mereka kekal menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang seolah-olah memberikan satu tamparan terbuka kepada keputusan Mesyuarat MKT UMNO.

UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti sombong yang sentiasa mahu mendominasi parti-parti lain kerana suasana politik negara sudah jauh berubah berbanding sebelum dulu di mana kini apa yang lebih dipentingkan adalah muafakat setara dan saksama antara semua parti dan golongan rakyat.

Menakjubkan bila MKT UMNO sepertinya sudah lupa kenyataan berulangkali para pemimpin UMNO mengenai hasrat mereka untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS serta untuk memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) bersama-sama dengan MCA, MIC dan PBRS.

Bila keputusan Mesyuarat MKT UMNO ini dibuat secara bersendirian tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Induk MN dan Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu maka UMNO dilihat terpencil dari PAS serta parti-parti komponen BN lain yang rata-rata dilihat menjarakkan diri dari keputusan ini, khususnya PAS yang mengambil pendirian berbeza.

Keputusan Mesyuarat MKT UMNO ini jauh bercanggah daripada hasrat rakyat bawahan yang rata-rata mahukan parti-parti Melayu utama di negara kita bersatu dalam satu pakatan yang kukuh.

Hasrat ini dapat dilihat dalam pelbagai dapatan kaji selidik, termasuklah dapatan kaji selidik yang dibuat oleh Merdeka Center dari 15 Julai ke 10 Ogos 2020 bahawa 65% pengundi Melayu mahu UMNO kekal bekerjasama dengan BERSATU dan PAS di dalam PN berbanding hanya 20% pengundi yang mahu UMNO bergerak bersendirian.

Begitu juga dengan dapatan kaji selidik yang dibuat oleh INVOKE pimpinan tokoh PKR, Rafizi Ramli, yang diumumkan pada 23 April lalu yang menunjukkan bahawa BN (8%) berada jauh di belakang PN (16%) dari segi sokongan pengundi jika PRU 15 dilangsungkan.

Perlu diingat bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, di dalam ucapan dasar beliau di Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 28 Mac menyebut kemenangan UMNO/BN dalam tujuh pilihan raya kecil setelah UMNO tersungkur membaham bumi di dalam PRU 14 adalah dengan bantuan PAS melalui MN.

Begitu juga kata-kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, di dalam satu forum pada 4 Januari bahawa kalau UMNO/BN mahu menang di dalam PRU 15 maka UMNO/BN kena bersama dengan PAS dan kena bersama dengan GPS.

Apa punca Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan kini sepertinya mahu menelan balik kata-kata mereka sendiri dahulu seolah-olah UMNO/BN boleh menang di dalam PRU 15 secara bersendirian adalah satu perkara yang sukar untuk ditelaah.

Keputusan Mesyuarat MKT UMNO ini juga berbeza dari keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada 28 Mac dalam dua aspek ketara, pertama ialah dari sudut bentuk penarikan diri dan kedua ialah dari sudut sebab penarikan diri.

Dari sudut bentuk, keputusan Mesyuarat MKT UMNO ini mahukan penarikan diri dari menyokong Muhyiddin sedangkan keputusan PAU 2020 mahukan penarikan diri dari menyokong Kerajaan PN.

Dari sudut sebab pula, keputusan Mesyuarat MKT UMNO ini memberikan tujuh kegagalan Kerajaan PN sebagai puncanya manakala keputusan PAU 2020, seperti ditegaskan oleh Zahid dalam ucapan penggulungan beliau, mahukan penarikan diri ini dibuat hanya jika Muhyiddin tidak menunjukkan sebarang tanda untuk membubarkan Parlimen dan melangsungkan PRU 15.

Perlu diingat, bahawa tidak logik untuk membubarkan Parlimen dan melangsungkan PRU 15 dalam keadaan pandemik Covid-19 masih menggila dengan kemunculan pelbagai varian baru yang lebih bahaya, apatah lagi bila UMNO sendiri sudah menangguhkan pemilihan pemimpinnya selama 18 bulan disebabkan faktor ini.

Sebab penarikan diri dari menyokong Muhyiddin, iaitu tujuh kegagalan Kerajaan PN, juga boleh berbingkas dan memakan diri UMNO sendiri kerana asas utamanya, iaitu kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan, sebenarnya terpukul ke muka para pemimpin UMNO sendiri kerana Menteri-Menteri utama yang ditugaskan untuk menangani pandemik Covid-19 adalah Menteri UMNO sendiri.

Jika dikaitkan kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan dengan pengisytiharan darurat, bagaimanakah pula statusnya dengan 79 negara yang, mengikut data sebuah badan hak asasi manusia berpusat di Geneva, Switzerland, bernama Centre for Civil and Political Rights (CCPR Centre), telah pernah membuat pengisytiharan sama seawal 1 April 2020 lagi, terbarunya di Indonesia dan di Jepun?

Dan bagaimanakah kerajaan boleh dikatakan memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah supaya Parlimen dibenarkan bersidang tatkala titah supaya Parlimen dibenarkan bersidang sebelum 1 Ogos telah dipatuhi dan tatkala semua Dewan Undangan Negeri lain, termasuk di negeri-negeri yang diterajui oleh UMNO, hanya bersidang selepas 1 Ogos?

Sebab itulah saya dan rakan-rakan ahli akademik lain bersetuju dengan saranan Dr Kamarul Zaman supaya UMNO memikirkan kembali secara lebih tenang, lebih rasional dan lebih sistematik pendekatan politiknya jika tidak mahu tersungkur lebih teruk dalam PRU 15.

Ketepikanlah kepentingan diri, utamakanlah kepentingan pertiwi dan manfaatkanlah perlantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk kepentingan parti. Jangan dinampakkan UMNO hanya mengejar kuasa semata-mata.

(*) Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri- -Felo Penyelidik dari Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tiada ulasan: