HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Julai 2021

MIC, MCA ucap tahniah pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin

Kasthuri Jeevendran
MGF26052021_PEMILIHAN-PRESIDEN-MIC08
Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Dua parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC dan MCA mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien juga telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Menurut Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, beliau cukup teruja dengan dua pelantikan yang dianggap memberi pengiktirafan kepada barisan pimpinan UMNO dan BN dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya cukup gembira, berterima kasih dan sangat menghargai keputusan dan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sangat memahami kepentingan kita dalam kerajaan PN. Ini memang satu berita cukup baik ketika kita berdepan dengan pelbagai cabaran. 

“Pelantikan ini juga memberi nafas baharu kepada kesemua pimpinan lain dalam kalangan UMNO dan BN bahawa kita diiktiraf.

“MIC sejak awal lagi sudah meminta supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri ini diberikan kepada pemimpin BN dan akhirnya ini jadi kenyataan, terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya hari ini.

Apa yang pasti, menurut Vigneswaran, pelantikan itu juga akan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara pimpinan PN dan BN selain menghentikan politiking yang sedang berlaku ketika ini  tatkala pandemik Covid-19 melanda.

Selain itu, MCA juga menyambut baik pelantikan kedua-dua mereka dan menganggap ia akan memperkukuhkan lagi pentadbiran kerajaan.

Setiausahanya, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Ismail Sabri dan Hishammuddin.

MCA dalam kenyataannya juga menganggap kedua-duanya pemimpin yang berpengalaman luas dan dapat memberi sumbangan memanfaatkan rakyat dan negara.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: