KUALA LUMPUR – Tujuan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memperkenankan pengisytiharan Proklamasi Darurat bermula 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini untuk memudahkan kerajaan membendung pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, selepas hampir enam bulan dilaksanakan, usaha menanganinya tidak memberi sebarang kesan, malah angka kes positif Covid-19 tidak menunjukkan penurunan berkekalan, sebaliknya melebihi 6,000 hingga 7,000 kes sehari.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, situasi kerajaan hari ini tidak boleh dibenarkan berterusan dan sesuatu perlu dibuat untuk mengubah keadaan.
“Sekiranya kita perlu tukar kerajaan supaya nasib rakyat lebih terjaga dan menjauhkan mereka dari mudarat, maka itu wajib dilakukan.
“Lebih menyukarkan keadaan, apabila Parlimen masih ditutup menyebabkan proses semak dan imbang kerajaan terkekang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, apabila Parlimen ditutup, maka demokrasi tercabul dan Ahli-ahli Parlimen tidak boleh menegur atau bertanya kepada kerajaan, Perdana Menteri dan menteri-menteri apa yang sedang berlaku kini.
Katanya, mereka boleh berbuat sesuka hati dengan tidak banyak kekangan untuk mengekalkan kuasa, walaupun tahu negara sedang terumbang ambing dan teruk sekali di bawah pemerintahnya.
Turut dikesalkan, tegas beliau, apabila ada antara mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkali-kali, tetapi tidak diambil tindakan atau dikenakan kompaun.
“Sedangkan ramai di kalangan rakyat dikenakan kompaun ribuan ringgit, malah mencecah puluhan ribu ringgit kerana melanggar SOP PKP.
“Semakin hari keadaan menjadi semakin teruk. Setiap hari kita tunggu, setiap hari semakin ramai rakyat sengsara, hilang kerja, tidak makan, dijangkiti Covid-19 atau mati,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan