Permintaan pembangkang yang mendesak sidang Parlimen sudah ditunaikan, perlu tunggu beberapa hari sahaja lagi menjelang pintu pagar dibuka dan Ahli-Ahli Parlimen (MP) boleh masuk ke dalam Dewan Rakyat.
Namun, semakin hampir sidang 26 Julai setiap hari blok pembangkang, Pakatan Harapan meluahkan rasa tidak puas hati dengan mendakwa mereka tidak dibenarkan berbahas dan bertanya soalan, ia dakwaan yang menyimpang jauh sama sekali.
Jelas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis membuka seluas-luas pintu kepada blok pembangkang untuk berbahas dan bertanya soalan semasa sidang khas nanti.
Sepatutnya mereka bersedia dengan soalan-soalan yang ingin dikemukakan dan bukan setiap hari mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah cuba mencari kesalahan orang lain untuk tujuan politik, sekurang-kurangnya lontarkan cadangan yang bernas untuk membantu kerajaan ke arah usaha untuk keluar daripada krisis Covid-19 ini.
Dakwaan kononnya tidak diberikan peluang untuk berbahas sudah disangkal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pembangkang beria-ria mendakwa sidang khas ini hanya olok-olok.
Begitu lah sikap pembangkang, mencari setiap ruang dan peluang untuk menimbulkan syak wasangka buruk terhadap kerajaan. Dalam keadaan Parlimen sudah mahu dibuka, pelbagai helah dan tuduhan terhadap kerajaan dilontar semata-mata mencari modal politik.
Menurut Takiyuddin, tiga agenda utama akan dibincangkan semasa sidang khas nanti, ianya berhubung Proklamasi Darurat, isu berkait pilihan raya kecil (PRK) Gerik dan PRK Bogaya di Sabah serta penerangan menteri-menteri berkaitan dengan Darurat dan Covid-19.
Tiga agenda ini menjadi teras kepada sidang khas kali ini dan menurut Takiyuddin setiap MP boleh menggunakan ruang yang ada untuk bertanya dan berbahas.
Bagaimanapun, adakah blok pembangkang sudah bersedia dengan soalan mereka atau lebih sekadar mahu menjerit-jerit dalam Dewan Rakyat sahaja nanti? Bukan rakyat tidak nampak sikap MP sebelah sana, apabila setiap kali sesi perbahasan sebelum ini ada sahaja karenah menjengkelkan ditunjukkan mereka.
Lebih baik sekiranya semasa sidang khas ini berlangsung, semua MP berbahas sebagai seorang pemimpin yang matang dan berhujah dengan fakta bagi mencari jalan untuk membawa negara keluar daripada krisis ini.
Pembangkang sepatutnya menjadikan platform sidang khas ini untuk membuktikan mereka berwibawa untuk membantu rakyat, bukan hanya tahu bersorak di luar kerajaan gagal walhal di negeri sendiri yang ditadbir pembangkang juga gagal.
Sekarang bukan masa menunding jari pihak mana yang gagal, rakyat pun sudah muak dengan permainan ahli-ahli politik yang rakus kuasa dan bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri disamping membuat perjanjian belakang tabir dengan dahulunya musuh politik mereka hanya kerana tamak kuasa.
Rakyat tidak bodoh, ketika keadaan ekonomi tidak menentu seluruh dunia dan ramai kehidupan rakyat terjejas, tetapi masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan sentimen tersebut untuk memastikan matlamat peribadi mereka tercapai.
Begitu lah sempitnya pemikiran blok pembangkang, dikaca mata mereka hanya nampak matlamat peribadi. Jadi, tidak hairan lah apabila rakyat di sesetengah kawasan Parlimen merungut bantuan bakul makanan yang tidak diberikan kepada orang ramai walhal peruntukan RM300 ribu sudah disediakan.
Sampaikan terpaksa warganet membuat kempen berkongsi nombor telefon MP di kawasan supaya menghubungi terus wakil rakyat mereka sekiranya tidak mendapat bantuan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak kurang hebatnya, ketika semua MP sedang sibuk mengagihkan bantuan bakul makanan tiba-tiba beliau boleh berkongsi sedang berkebun di rumah di Kuala Lumpur.
Kasihan pengundi Port Dickson yang setiap hari merindui cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan menjadi ikon sepanjang zaman dalam arena politiknya.
Mungkin kereta Jaguar perlu disimpan secara baik-baik, dikilat dan dibasuh dengan teliti, calon PM lah katakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan