HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Julai 2021

Motif pembangkang curi tumpuan, raih sokongan kemudian rampas kuasa

Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman

Mudah untuk sesiapa sahaja yang tidak mentadbir dan memahami dengan mendalam selok-belok pentadbiran serta pengurusan negara dan cabaran dihadapi melabelkan sesebuah kerajaan atau negara sebagai gagal.

Menghukum membuta tuli tanpa usul periksa hanya bersandarkan satu kes sahaja – dalam konteks ini Covid-19 – bukanlah ukuran yang boleh dijadikan sandaran melabelkan kerajaan gagal.

Terlalu berat hukuman itu, seolah-olah menggambarkan negara kacau bilau dan nazak.

Jangan terlalu ikutkan sentimen, apatah lagi menjadi ‘pak turut’ terutama ahli politik lawan yang sentiasa mencari ruang dan peluang mengherdik kerajaan.

Motif mereka jelas, mencuri tumpuan dan meraih sokongan, lalu merampas kuasa. Sentimen ini akan terus ditiup dan diapi-apikan tanpa henti.

Golongan ini, lebih memikirkan bagaimana memperkecilkan dan menidakkan kemampuan lawan. Paling penting, bagaimana caranya mencuri ‘kredit’ dan perhatian rakyat daripada mengutamakan matlamat mendepani cabaran.

Andai negara pulih, dengan gah mereka mendabik dada bahawa atas inisiatif merekalah keadaan negara lebih stabil. Permainan sebegini lumrah dalam dunia politik.

Pandangan dan lontaran pendapat seorang pemimpin politik sebuah parti utama melalui rakaman audio yang bocor sewaktu mesyuarat parti baru-baru ini, antara bukti.

Justeru, rakyat seharusnya tidak terikut rentak. Fahamilah, tumpuan situasi getir kini untuk melawan Covid-19.

Hakikatnya, dengan usaha dan inisiatif agresif dilaksanakan berterusan, masih ada sinar untuk negara kembali pulih.

Bukan memihak atau mempertahankan pemerintah. Sebaliknya, sekadar pandangan membuka minda untuk semua melihat situasi semasa dengan hati yang tulus ikhlas, serta dari dimensi positif tanpa dibiarkan minda dibelenggu hasutan dan didorong sentimen, emosi dan pengaruh pihak lain yang berkepentingan semata-mata.

Hanya dengan fikiran terbuka dan rasional, kita dapat memberikan keadilan kepada mana-mana pemerintah serta memberikan ruang berfikiran positif, serta turut menggembleng tenaga ke arah memerangi Covid-19. Bukan hanya terus mengkritik dan menghukum tanpa kesudahan.

Ketahuilah, keadaan ekonomi dan kewangan negara walaupun semakin mencabar, masih stabil. Segala bentuk bantuan dan inisiatif masih dapat diuruskan, malah dipelbagaikan inisiatif dan pakej bantuan. Sistem pentadbiran dan jentera kerajaan juga masih terkawal dan dapat beroperasi seperti biasa.

Negara secara amnya masih aman dan terpelihara. Peperangan melawan Covid-19 masih berterusan dan diperkasakan. Ia belum boleh dianggap tewas.

Mungkin hasilnya belum kelihatan, namun jika rakyat dapat memberi kerjasama erat dan lebih menumpukan peranan masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kita pasti akan menang.

Tidak dinafikan, wujud kelemahan sana sini dalam mengurus dan membuat keputusan tepat serta cepat dalam beberapa kes tertentu di beberapa kementerian. Namun tidaklah sampai ke tahap gagal.

Berterusan menuduh negara gagal, seolah-olah memberikan gambaran dan menampakkan negara tidak terkawal dalam segenap aspek.

Imej sedemikian lebih memburukkan negara di mata dunia, mengundang lebih banyak masalah termasuk dari aspek perdagangan dan sebagainya?

Jika dilihat, senario lebih buruk berlaku di negara lain. Malaysia sendiri, tidak seteruk digembar-gembur, malah masih dianggap terkawal dan mempunyai keupayaan berdaya saing.

Pada saat negara dilanda cabaran getir menghadapi Covid-19 ini – seperti sering disarankan pelbagai pihak yang cintakan negara – sebaiknya ketepikan dan hentikanlah daripada terus menyebarkan sentimen politik kebencian kepada rakyat.

Setidak-tidaknya dalam tempoh kita berusaha memerangi Covid-19 ini.

Bermuhasabahlah dan utamakanlah kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat daripada hanya berterusan menjaja dan mencaci mencari kelemahan negara semata-mata.

Berpolitik biarlah secara berhemah dan profesional. Tidak usah dikeruhkan suasana mencabar ini dengan hasutan dan tohmahan, demi survival diri dan dukungan ideologi masing masing.

Ingatlah, negara belum gagal. Hayatilah pengertian negara gagal dalam konteks lebih luas, rasional dan berasas, berbanding menuduh ikut ‘sedap mulut’.

(*) Prof Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman
Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Tiada ulasan: