KOTA BHARU – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mempersoalkan kenapa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin takut untuk membuka perbahasan pada sidang Parlimen 26 Julai ini.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan, kalau kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendakwa pentadbirannya tidak gagal dalam menangani pandemik Covid-19, kenapa perlu takut.
“Kenapa perlu takut jika mereka merasakan semua tindakan yang dilakukan dalam menangani pandemik Covid-19 tidak gagal? Beliau dan menteri-menterinya perlu buktikan pentadbirannya berjaya mengurus negara sepanjang tempoh darurat ini.
“Melalui perbahasan inilah kerajaan dapat mendengar suara sebenar rakyat yang rata-rata terjejas pendapatan akibat lockdown separuh masak yang terbukti sia-sia dan gagal.
“Rakyat melihat selepas darurat diumumkan, kes jangkitan Covid-19 dan kematian bertambah serta masalah tekanan sosial semakin menjadi-jadi sehingga ada yang bertindak membunuh diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau senada dengan Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kerajaan usah derhaka dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk membahas dan meluluskan Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dilaksanakan.
Kata Noor Hariri, Yang di-Pertuan Agong adalah tunjang kepada Perlembagaan Negara yang berpaksikan kepada sistem Demokrasi Berparlimen.
Ini bermaksud pentingnya Parlimen dijadikan medan membahaskan sebarang rang undang-undang untuk membawa suara rakyat secara rasmi kerana Dewan Rakyat adalah lambang demokrasi dan kestabilan negara.
Menurut beliau, kerajaan perlu menyelami sedalam-dalamnya maksud titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka untuk membahaskan keberkesanan Ordinan Darurat dalam mengekang wabak Covid-19.
“Jika tidak, benarlah kerajaan hari ini sememangnya gagal melandaikan lengkuk jangkitan walaupun selepas enam bulan darurat dilaksanakan.
“Dengan helah demi helah akan membuktikan lagi kerajaan PN gagal serba serbi, gagal membantu rakyat secara tuntas mahupun gagal mentaati titah Yang di-Pertuan Agong untuk dibahaskan Ordinan Darurat ini dengan selumat-lumatnya,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan