KUALA LUMPUR – Semua ahli-ahli Parlimen yang akan menghadiri sidang Parlimen pada 26 Julai ini diminta mengetengahkan isu-isu rakyat dan bukan isu bersifat peribadi.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sidang Parlimen selama lima hari itu seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat yang terhimpit dengan penularan Covid-19 dan bukannya bergaduh sesama sendiri.
“Gerakan berharap semua ahli Parlimen yang akan bersidang pada 26 Julai depan tidak menjadikan medan untuk bergaduh, soal perkara yang tidak sepatutnya.
“Hentikan semua perkara-perkara yang tak sepatutnya dan fokus kepada bantu kerajaan untuk tangani Covid-19,’ katanya kepada media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat secara maya hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Terbaharu, takwin Dewan Rakyat menjelaskan tiada sesi perbahasan dan pembentangan usul dijangka diadakan pada sidang Dewan Rakyat.
Sesi lima hari itu akan dipenuhi dengan sesi penerangan daripada menteri-menteri Perikatan Nasional.
Dalam sidang media sama, Dominic Lau menggesa agar isu vaksinasi tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Jangan politikkan isu vaksinasi kerana ia sebenarnya memang mengganggu tugas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dan KKM untuk menjalankan kerja dengan lebih bertanggungjawab.
“Saya berharap semua rakyat sabar menunggu giliran masing-masing dan saya juga ingin minta sesiapa yang belum mendaftarl bagi mendapatkan vaksin boleh daftar secepat mungkin demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan