Leong memberikan amaran dan
menggesa kerajaan Selangor mengkaji semula keputusan itu atau mereka
akan berisiko dihukum pada pilihan raya akan datang.
Seorang ahli Parlimen PKR
menyelar kerajaan Selangor berhubung keputusan untuk membenarkan
pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), sebuah
projek lebuh raya empat lorong yang akan melibatkan beberapa kawasan
kejiranan utama selain dilihat sebagai penjenamaan semula projek lebuh
raya yang dibatalkan susulan protes penduduk enam tahun lalu.
Ahli Parlimen Selayang William Leong memberikan amaran dan menggesa
kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula keputusan atau
mereka akan berisiko dihukum oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.
Beliau merujuk pendedahan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor bahawa kerajaan negeri bersetuju secara dasarnya untuk
pembinaan PJD Link dengan beberapa syarat yang dilihat melanggar
manifesto PH pada Pilihan Raya Umum 2018.
“Kelulusan
bersyarat ini menafikan tujuan janji pilihan raya. Dengan mengundi
kepada kerajaan Pakatan Harapan, ia menjadi jaminan bahawa rakyat
Selangor akan terhindar daripada kegelisahan, usaha dan perbelanjaan
yang diperlukan dalam mengemukakan bantahan ke atas projek-projek lebuh
raya seperti apa yang mereka terpaksa lalui semasa issue Kidex,” kata
Leong merujuk projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex)
yang dibatalkan menteri besar ketika itu Mohamed Azmin Ali.
“Kini, mereka perlu melakukan langkah yang sama untuk PJD Link,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu, penduduk di kawasan yang terlibat dengan
projek tersebut menyuarakan kebimbangan berhubung sikap berdiam diri
wakil rakyat kawasan tersebut walaupun beberapa kali mengadakan tunjuk
perasaan.
Pembinaan PJD Link dirancang bermula selepas plaza tol NKVE hingga
Lebuh Raya Sprint, dan berakhir di Lebuh Raya Bukit Jalil, menghubungkan
Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar
Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja,
Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.
Pengkritik perojek tersebut berkata jajaran projek tersebut hampir
serupa dengan Kidex yang dibatalkan Azmin pada Februari 2015, lima bulan
selepas beliau menggantikan Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Leong menyifatkan syarat bagi syarikat konsesi untuk mengadakan
penglibatan awam dengan penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran
tersebut hanyalah “satu tugasan perhubungan awam semata-mata”.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bantahan penduduk tidak dipertimbangkan secara serius.
“Syarat
tersebut dianggap dipenuhi dengan mengadakan mesyuarat tanpa mengambil
kira bantahan yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya.
Muhyiddin berharap Kabinet
baru kerajaan akan terus menumpukan usaha melawan Covid-19 dan mencapai
sasaran program vaksinasi kebangsaan.
Pengerusi Perikatan
Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan tahniah kepada
barisan jemaah menteri diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang
mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong,
berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan memberi keutamaan
memulihkan negara daripada wabak Covid-19.
“Program vaksinasi yang menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan
625 populasi dewasa setakat ini menerima dua dos suntikan lengkap vaksin
mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang
ditetapkan.
“Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut
fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mesti dilaksanakan dengan teratur
tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak Covid-19,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan
peletakan jawatannya, Muhyiddin bersama sekitar 50 ahli Parlimen di
bawah gabungan Perikatan Nasional yang diketuainya telah mendukung
Ismail sebagai pengganti beliau.
Pada 19 Ogos lalu, Muhyiddin berkata sokongan terhadap Ismail adalah
dengan syarat Kabinet baru yang ditubuhkan tidak dianggotai individu
yang berdepan pertuduhan di mahkamah.
Beliau berkata sokongan terhadap Ismail adalah demi memastikan
kesinambungan dasar-dasar PN yang memberikan tumpuan untuk melawan
pandemik Covid-19 dan memulihkan negara sehingga waktu sesuai untuk
mengembalikan mandat kepada rakyat sekali gus mengadakan pilihan raya.
Beliau berkata kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail juga harus
meneruskan amalan pemisahan kuasa, mempertahankan kebebasan badan
kehakiman dan raja berperlembagaan.
Pada Jumaat lalu, Ismail telah menamakan 31 menteri dalam penubuhan
Kabinet beliau yang dilihat mengekalkan sebahagian besar menteri dari
Kabinet pentadbiran Muhyiddin sehingga mencetuskan kecaman dari Umno dan
pembangkang.
'Framework' British perlu modifikasi ikut konteks watan, peredaran zaman
BANGI
– Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 hari ini, Pengerusi PEMBELA, Haji
Aminuddin Yahaya mengajak pemimpin politik mengutamakan politik
kenegaraan jauh melebihi politik kepartian.
Beliau berkata, pemikiran mengenai
politik wajar diperbetulkan sekiranya mahu membangunkan sebuah peradaban
yang mendominasi segenap aspek kemajuan dan dipandang tinggi dunia,
sebagaimana yang dituntut oleh Islam serta seperti yang dibuktikan oleh
generasi terdahulu.
“Tarikh 31 Ogos 1957 merupakan simbolik
peralihan kuasa politik negara dari tangan British kepada anak watan
negara ini. Namun, ‘framework’ yang British tinggalkan masih ada, iaitu
sistem demokrasi.
“Saya sudah banyak kali mengulas tentang
sistem demokrasi, terutamanya sistem demokrasi Malaysia. Secara umumnya,
saya menerima sistem demokrasi tetapi perlu adanya modifikasi mengikut
konteks watan dan peredaran zaman. Bukannya terlalu totok dengan sistem
ini.
“Masalah kita secara umumnya setelah lebih 60 tahun mengamalkan sistem ini ialah terlalu taksub dengannya.
“Hasilnya, timbullah amalan politik
kepartian yang melampau melebihi kemaslahatan kenegaraan itu sendiri.
Tidak kiralah, rakyat mahupun pemimpin; ramai sudah dijangkiti
‘penyakit’ ini,” katanya.
Membuktikan dakwaan itu, Haji Aminuddin
mengajak semua pihak melihat bagaimana prinsip agama, bangsa dan negara
digadai demi kepentingan kepartian sepanjang tempoh lebih 60 tahun
kemerdekaan ini.
Pasti ada peristiwanya; baik kerajaan, pembangkang mahupun penyokong-penyokong (rakyat).
“Tidak usah pergi jauh pun, lihat sahaja
tahun ini. Dua minggu politik negara bergolak tatkala rakyat sedang
tenat menghadapi pandemik. Semuanya berpunca kerana pergaduhan antara
kem-kem parti politik. Akhirnya, tiada apa sangat pun yang berubah.
“Ketika itu, jangankan jawatan di
kementerian tetapi jawatan-jawatan GLC, agensi-agensi dan pelbagai lagi
diperlakukan seperti barang mainan yang boleh dicampak-campak ke tepi
sahaja.
“Semuanya atas semangat kepartian padahal awalnya dulu kata jawatan tersebut adalah demi berkhidmat kepada negara,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari
KUALA LUMPUR –
Tambahan dua hari persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat
Parlimen ke-14 yang sepatutnya berlangsung selama 15 hari adalah bagi
memberi laluan kepada hal-hal atau usul kerajaan yang perlu diselesaikan
pada tambahan hari tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azhar sebelum ini memaklumkan sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 September hingga 30 September depan.
Bagaimanapun
menerusi notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin
Bacha Mydin semalam, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14
itu dipinda kepada 13 September hingga 12 Oktober dan akan berlangsung
selama 17 hari.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen turut berkongsi notis berkenaan menerusi media sosial masing-masing.
Azhar
dalam pada itu turut memaklumkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat,
Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat sememangnya mempunyai budi
bicara untuk menukar tarikh persidangan sekiranya beliau fikirkan
sesuai. – Bernama
Mahkamah
Sesyen di Kuala Lumpur menyarankan supaya supaya kes saman fitnah Datuk
Seri Dr Mujahid Yusof terhadap Harakah membabitkan isu usahawan
kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, yang didakwa memakai
telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah,
diselesaikan secara baik menerusi proses mediasi.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Mujahid ketika dihubungi Bernama, selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan hari ini.
“Hari
ini ditetapkan untuk perbicaraan kes saman itu, namun sebelum prosiding
bermula, Hakim Zulqarnain memberi cadangan untuk pihak-pihak berbincang
bagi menyelesaikan kes ini secara baik.
“Peguam kedua-dua pihak
akan berbincang dengan anak guam masing-masing mengenai perkara ini,”
katanya yang turut memaklumkan bahawa 7 Sept ditetapkan untuk pengurusan
kes bagi mengemaskini status penyelesaian kes.
Bekas menteri di
Jabatan Perdana Menteri itu, yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun
lepas, menamakan wartawan Harakah Aziz Muda, Ketua Pengarang Harakah Wan
Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang harakahdaily serta akhbar
Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu,
Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutan, Mujahid mendakwa pihak defendan telah memfitnahnya menerusi artikel ‘Sajat: Mujahid dan K'jaan PH patut dipersalahkan’ pada 7 Feb tahun lepas dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’ pada 10 Feb tahun lepas.- Bernama
Makna
Merdeka tidak hanya bermaksud mengganti pimpinan kolonial Inggeris
tetapi juga menghapuskan cara pemerintahan mereka, kata ketua
pembangkang Anwar Ibrahim.
Anwar, dalam ucapan Hari Merdeka ke-64,
mengatakan para pemimpin negara harus memastikan bahawa mereka tidak
meneruskan amalan menjarah negara dan menindas rakyat seperti yang
dilakukan oleh penjajah.
"Kemerdekaan itu bukan bererti
semata-mata menganti pimpinan Inggeris kepada rakyat Malaysia termasuk
pribumi. Tokohnya berganti, amalannya juga harus berubah.
"Amalan
keangkuhan, rompakan kekayaan negara, penindasan rakyat, penafian
kebebasan dan lebih penting kesaksamaan dan kesamarataan peluang ekonomi
kepada semua rakyat kita.
"Ini harus kita nilai pada hari kita sambut hari merdeka," katanya.
Anwar mengatakan bahawa rakyat Malaysia perlu menilai apakah mereka benar-benar mencapai kebebasan.
"Apakah
kita melahirkan pemimpin-pemimpin yang tidak menggondolkan kekayaan,
memungguh khazanah negara untuk kepentingan mereka, keluarga mereka.
"Apakah
kemerdekaan ini beri jaminan pengagihan eknomi yang adil kepada rakyat
terutamnya golongan petani, nelayan peneroka dan pekerja yang menjadi
benteng terkuat dlm perjuangan ini," katanya.
Sementara
itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapan Hari
Merdeka, mengatakan bahawa negara mesti belajar dari pengalaman yang
lalu.
"Insyallah segala masalah akan dapat kita atasi kemudian.
"Yang
penting ialah kita belajar daripada peristiwa-peristiwa buruk yang
berlaku dalam negara supaya kita dapat tolak cara yang merugikan kita
dan kembali kepada cara-cara yang telah memberi kejayaan kepada negara
kita sehinga dikenali sebagai Harimau Asia.
"Itulah harapan kita pada hari kemerdekaan ini," katanya.
ULASAN | Enam
puluh empat tahun dahulu, waktu saya berusia 14 tahun, ayah dan emak
saya telah keluar rumah pukul lima pagi, pada 31 Ogos, 1957, memakai
baju baru yang dibeli, dan dijahit khas untuk pergi ke Stadium Merdeka.
Mereka ingin bersama-sama dengan pembesar-pembesar negara dan ribuan rakyat
jelata di situ, untuk menyaksikan penyerahan kuasa dari penjajah
British, kapada kerajaan Tanah Melayu, yang dipimpin oleh Tunku Abdul
Rahman, Bapa Kemerdekaan.
Saya mendengar jelas, ulasan langsung oleh pemberita Radio Malaya melalui radio kecil di rumah kami, di Gombak Setia.
Saya
dengan senyap mendengar proklamasi kemerdekaan yang dilafazkan pada
9.30 pagi hari itu, yang menyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu,
yang merdeka dan demokratik, telah ditubuhkan, dan bahawa telah berakhir
"protectorate" British ke atas sembilan negeri Melayu, serta
pemerintahan penjajahan, ke atas Melaka dan Pulau Pinang.
Buat kali kedua, selepas dilaungkan pada detik-detik selepas 12 malam sebelumnya, saya mendengar lagu kebangsaan kita, Negaraku berkumandang di Stadium Negara.
Saya berasa seolah-olah bersama-sama berada di Stadium Negara, ketika pemasyhuran kemerdekaan, lebih-lebih lagi pada detik Tunku Abdul Rahman melafazkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.
Itulah ingatan saya yang masih tersemat di hati dan fikiran, tentang Hari Merdeka.
Sebelum
itu, saya mengikuti, melalui siaran Radio Malaya, tentang perbincangan
rombongan Tunku di London, dan sambutan di Melaka, serta berita-berita
yang berkaitan, sebelum 31 Ogos 1957.
Merdeka membawa erti yang cukup besar, akan segala potensi dan faedah yang masih pada masa itu, belum dapat dinilai.
Apa
yang jelas ialah masa depan negara serta rakyat adalah cerah dan kita
berpeluang membuktikan kemampuan untuk bersama-sama dalam kumpulan
negara-negara yang masa itu sedang membangun.
Kita berjaya dengan
pentadbiran yang berwibawa serta sokongan dan perpaduan rakyat berbilang
kaum, mengatasi pelbagai liku dan pahit jerih menghadapi
masalah-masalah yang terpaksa diharungi, selepas Merdeka.
Pada suatu masa, tidak lama dahulu, negara kita telah dianggap oleh dunia sebagai salah satu dari Harimau Asia.
Tetapi masa berlalu. Sekarang ini pelbagai masalah telah dan sedang mencabar rakyat. Kita menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-64 , dalam keadaan susah dan resah, tidak menentu, khuatir dan risau tentang hari esok, dan masa depan.
Pandemik global Covid-19, membawa masalah-masalah tertentu. Tetapi masalah-masalah lain juga mengganggu-gugat, termasuk ke atas kewibawaan pentadbiran dan imej negara.
Negara memang akan terus merdeka.
Tetapi
kita, rakyat, perlu memerdekakan diri kita, dari dikongkong,
dibelenggu, disusahkan, oleh kelam kabut politik toksik dan haluan yang
tidak menentu.
Sudah sampai masanya. Kita perbetulkan
kompas negara. Kita kikis unsur-unsur negatif perosak masyarakat dan
negara. Kita tetapkan semula atau 'reset' haluan kita.
Kita pupuk
kembali, nilai-nilai dan prinsip di semua lapisan masyarakat, yang
boleh mengukuhkan ketahanan rakyat dan negara. Kita bina semula negara
yang bermaruah dan yang dihormati.
Kita mesti merdekakan dan bebaskan negara kita ini dari gejala-gejala yang memudaratkan. MALAYSIAKINI
(*) RAFIDAH AZIZ ialah bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 1987 ke 2008.
Beberapa
ahli parlimen mencadangkan tempoh sidang Parlimen yang lebih panjang
bagi memberi ruang perbincangan yang lebih bermakna mengenai pelbagai
isu.
Cadangan itu hadir di tengah perbincangan mengenai
pembaharuan parlimen selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan
pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersetuju antara lainnya memperkasa fungsi
Parlimen Malaysia.
Rentetan daripada itu, dua pemimpin PH, Ahli
Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Lembah
Pantai, Fahmi Fadzil mencadangkan sidang Parlimen yang lebih panjang
perlu diadakan sebagai sebahagian pembaharuan parlimen.
“Kita
perlu persidangan Parlimen lebih panjang. (Contohnya) Parlimen UK
bersidang selama kira-kira 150 hari dalam setahun, iaitu hampir setengah
tahun,” kata Kasthuri ketika menjadi panel dalam program bertajuk
‘Ground Zero: Kemana Hala Tuju Pembaharuan Parlimen?’ yang disiarkan
secara dalam talian, malam tadi.
Turut
menjadi panel, Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, Ahli
Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Presiden Pertubuhan Kinabalu
Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau bertindak sebagai
moderator.
Sementara itu, mengulas lanjut, Fahmi yang merupakan
Pengarah Komunikasi PKR berkata pertama kalinya dalam sejarah Parlimen
bahawa tidak ada persidangan selama berbulan-bulan lamanya kerana
darurat walaupun pada waktu biasa, Parlimen hanya bermesyuarat sekitar
50 hingga 78 hari dalam setahun.
"Jika dibandingkan dengan negara lain, beberapa dari mereka hanya berehat pada musim panas, musim sejuk dan Krismas," tambahnya.
Manakala,
Azalina yang juga bekas timbalan speaker menekankan perlunya mengadakan
Parlimen hibrid, terutamanya semasa pandemik Covid-19.
Menurut
Azalina, Parlimen UK juga tidak berhenti mengadakan sesi semasa Perang
Dunia Kedua, jadi Parlimen Malaysia harus dapat menyesuaikan diri dengan
keadaan seumpamanya.
Bagaimanapun, kata Azalina ia memerlukan beberapa pindaan termasuk Aturan Mesyuarat.
Ahli
Parlimen Kangar, Noor Amin juga menyatakan bahawa Parlimen tidak
mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA), yang bermaksud ia masih
tertakluk kepada eksekutif.
PSA adalah undang-undang yang
bertujuan untuk memastikan institusi itu mengatur tadbir urusannya
sendiri tanpa sebarang campur tangan.
"(Kerana tidak ada PSA) Parlimen masih dibatasi oleh kerajaan dari segi apa yang boleh atau tidak dapat dilakukannya," katanya.
Noor
Amin menekankan pentingnya jawatankuasa pemilihan parlimen, kerana
katanya ahli Parlimen diberi kuasa dalam jawatankuasa itu untuk
memanggil individu yang mereka rasa dapat memberikan pandangan mengenai
dasar atau isu tertentu yang dibincangkan.
"Dalam jawatankuasa pemilihan, ahli parlimen memiliki lebih banyak pengaruh untuk draf undang-undang," katanya.
Selain
itu, Kasthuri turut mencadangkan agar tidak ada had jumlah ahli
parlimen yang dibenarkan berada dalam jawatankuasa itu, kerana sebelum
ini jumlah maksimum yang ditetapkan adalah sembilan ahli parlimen
sahaja.
Kasthuri dan Fahmi sama-sama bersetuju bahawa rang
undang-undang harus melalui jawatankuasa pemilihan terlebih dahulu
sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Tambah Fahmi, Malaysia
sangat unik di dunia kerana seluruh Dewan Rakyat melalui peringkat
jawatankuasa bersama setelah membincangkan dasar RUU pada bacaan kali
kedua, walaupun ia tidak begitu efisien.
Sementara itu, Kasthuri
memberikan contoh bagaimana sebuah jawatankuasa pemilihan dapat membantu
menyempurnakan rang undang-undang sebelum ia dibentangkan dengan
merujuk kepada pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
dibentangkan untuk melarang ketum di bawah Akta tersebut.
"Itu
dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan. Saya masih ingat (Ahli Parlimen
Puchong) Gobind Singh Deo berdiri, bingung, kerana seharusnya
Kementerian Dalam Negeri yang membentangkannya.
"Jadi ini harus ditangani dalam jawatankuasa pemilihan," tambahnya
Adun PH Selangor menggesa kerajaan negeri untuk menarik balik keputusan untuk menyahwarta sebahagian hutan simpan Kuala Langat Utara.
Adun
Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze mengingatkan kerajaan negeri bahawa
sidang DUN pada November 2020 secara sebulat suara melulukan usul untuk
memulihara hutan simpan di Selangor.
"Saya sangat kecewa. Namun ia belum terlambat. Keputusan masih boleh dipertimbangkan semula.
"Saya
mohon kerajaan negeri berbuat demikian dan menghormati usul yang
diluluskan pada sidang lepas. Usul tersebut mencerminkan suara rakyat,"
kata Adun DAP itu di Twitter.
Adun Kampung Tunku yang juga dari DAP, Lim Yi Wei juga menyuarakan kekecewaannya berhubung keputusan itu.
"Saya
tidak faham bagaimana exco boleh kata tiada ageni kerajaan yang bantah
penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara," katanya di Twitter.
Dia
berkata antara agensi yang membuat bantahan adalah Kementerian Tenaga
dan Sumber Asli, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dan
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
"Saya menggesa kerajaan
Selangor untuk mempertimbangkan semula keputusan menyahwarta 536.70
hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara," katanya lagi.
Kerajaan
Selangor pada mulanya merancang untuk menyahwartakan kawasan seluas
991.9 hektar hutan itu tetapi kemudian mengurangkannya ekoran bantahan meluas.
Kawasan itu termasuk penempatan Orang Asli.
Exco
alam sekitar dan hal ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata kerajaan
negeri memutuskan untuk tidak memasukkan kawasan yang penting untuk
Orang Asli.
Penyahwartaan dibuat pada Mei lalu tanpa sebarang publisiti dan hanya menjadi perhatian umum susulan sidang DUN Selangor minggu ini.
Lim menegaskan masyarakat Orang Asli akan tetap terjejas dengan keputusan itu.
"Walaupun
(nyahwarta) tidak ada kampung atau kubur Orang Asli, ia masih merupakan
tanah adat dan tanah rayau suku Temuan di situ," katanya lagi.
Ketika
rata-rata pemimpin politik berkongsi ucapan sempena Hari Merdeka ke-64
dengan kenyataan yang bersifat umum, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming
berkongsi senarai yang digelarnya sebagai '10 Tindakan Merdeka'.
Senarai itu mengandungi 10 tindakan yang direncana dilaksanakannya sepanjang tahun ini bermula sekarang.
"Pada
malam hari kebangsaan ke-64, saya tahu bahawa ramai di antara anda
merasa tidak yakin tentang masa depan dan mungkin tak ada 'mood' untuk
meraikan Merdeka.
"Jumlah kes Covid-19 harian masih tinggi,
termasuk di Lembah Klang, di mana lebih daripada 90 peratus populasi
dewasa dianggarkan telah divaksinasi (walaupun jumlah kemasukan ICU
telah menurun).
"Bagi
mereka yang cukup beruntung berada dalam kedudukan untuk menolong orang
lain, teruskan melakukannya sama ada mewujudkan pekerjaan yang sangat
diperlukan dalam ekonomi ini atau memberikan bakul makanan kepada yang
memerlukan di komuniti anda," katanya dalam satu kenyataan.
Sepuluh tindakan yang disenaraikan Ong adalah seperti berikut:
1) Vaksinasi bergerak yang disasarkan untuk golongan B40 dan terutama untuk komuniti warga asing tanpa dokumen.
2) Mencari kaedah baru untuk memberi makan kepada orang miskin dan yang memerlukan.
3) Mencari peluang pekerjaan untuk penduduk di kawasan parlimennya.
4) Memperbaiki keadaan hidup pekerja kilang dan buruh asing
5) Membantu pelbagai industri dibuka dengan selamat dan kembali kukuh
6) Menggunakan Stadium MPKj di Bandar Baru Bangi untuk lebih banyak aktiviti larian dan latihan
7) Melanjutkan perkhidmatan perundingan ‘pro bono’ kepada syarikat dan industri
8) Terus memberi peluang latihan iindustr kepada anak muda
9) Mendaftar pengundi baru
10) Membantu di DUN N24 Semenyih
Dia
mengatakan bahawa walaupun kadar vaksinasi di kalangan rakyat Malaysia
di Lembah Klang sangat tinggi, masih terdapat banyak orang, terutama
warga asing tanpa dokumen, yang belum menerima dos pertama vaksin
Covid-19.
"Dalam tinjauan yang saya lakukan minggu lalu bersama
pelbagai kumpulan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pejabat
Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), UNHCR dan WHO dan NGO (seperti Project
Liber8) di sebuah kompleks pangsapuri kos rendah dan berdekatan kawasan
komersial, kami berjaya menemui lebih daripada 100 orang yang
kebanyakannya dari komuniti warga asing tanpa dokumen yang belum diberi
vaksin.
"Saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang
berkaitan di kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyediakan vaksinasi
bergerak bagi mereka yang kerana pelbagai alasan tidak bersedia atau
tidak dapat pergi ke pusat-pusat vaksinasi (PPV) yang memungkinkan untuk
membuat janji temu atau orang ramai," katanya
Ong juga menekankan bahawa banyak perniagaan telah ditutup baik untuk sementara atau secara kekal semasa wabak ini.
"Seiring
dengan penurunan jumlah kes, terutama yang memerlukan kemasukan di
hospital, kerana program vaksinasi kebangsaan, banyak bisnes akan dibuka
kembali dan bisnes baru juga akan dicipta.
"Saya berharap dapat
melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan,
terutama dari komuniti B40, untuk mencari pekerjaan baru," katanya.
Dia
menambah bahawa salah satu cabaran utama untuk membantu masyarakat B40
mencari pekerjaan adalah kurangnya pengetahuan tentang cara menggunakan
laman web pekerjaan.
"Walaupun sekarang ada laman web pekerjaan
yang lebih memfokuskan pada pekerjaan teknikal dan kemahiran seperti
https://www.maukerja.my/, https://www.ricebowl.my/ dan
https://my.jawatan-kini.com /job.php?q=&l=kajang, literasi IT yang
rendah mungkin masih menjadi halangan bagi masyarakat B40 untuk
menggunakan laman web seperti itu.
"Saya berharap dapat
menghubungi pasukan pengurusan dan teknologi untuk beberapa laman web
pekerjaan ini untuk melihat bagaimana lebih banyak ciri mesra pengguna
dapat disediakan untuk menjadikan proses permohonan pekerjaan lebih
mudah," kata Ong.
Mengenai keadaan pekerja asing, katanya, dia
juga telah menerima permohonan dari pemilik lot kedai dan pengurus
hartanah yang berminat untuk menukar lot kedai tingkat 2 dan 3 mereka
yang kini tidak dihuni menjadi asrama sementara untuk pekerja, terutama
pekerja kilang.
"Setiap pihak berkuasa tempatan di Selangor masih
mencari perincian tentang cara memproses dan jika sesuai, meluluskan
permohonan ini," kata Ong.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memperlekehkan Kabinet baharu sebagai Kabinet kitar semula.
Mungkin Anwar tidak sedar bahawa sindiran kitar semula itu sebenar kena tepat ke batang hidungnya sendiri.
Seluruh dunia sudah tahu bahawa Anwar merupakan bakal Perdana Menteri yang paling lama di dunia.
Muka beliau diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri dari pakatan
pembangkang semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana
Menteri keempat dan ketujuh serta era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad
Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah,
Ahli Parlimen Port Dickson dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu
masih menjadi calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) selepas
Muhyiddin meletak jawatan.
Terbukti calon Perdana Menteri kitar semula itu tidak mempunyai
nombor apabila akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik
mengetuai pentadbiran kerajaan baharu.
Tidak mustahil Anwar akan dikitar semula sebagai calon Perdana Menteri PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Apakah PH sudah ketandusan tokoh untuk ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri?
Ramai pemimpin muda dalam PH sendiri yang mula mempersoalkan kewajaran mencalonkan Anwar.
Ada yang secara terbuka menggesa PH mengubah strategi memenangi hati
rakyat termasuk melantik pemimpin lain menggantikan Anwar sebagai
Pengerusi PH.
Mereka
mula sedar bahawa ketaksuban Anwar terhadap jawatan Perdana Menteri
merupakan faktor yang menyebabkan akar umbi dan penyokong semakin bosan
dengan PH.
Semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, ramai
juak-juak Anwar dengan yakinnya mendakwa masanya sudah tiba untuk Anwar
menjadi Perdana Menteri.
Keyakinan yang kosong bak padi hampa itu masih berterusan sehingga kini.
Namun, sekiranya sejak 1998 lagi, Anwar yang terpalit dengan kes
salah laku moral tidak berjaya merealisasikan angan-angannya sebagai
Perdana Menteri, adakah selepas 23 tahun, peluangnya semakin cerah?
Rakyat juga semakin bosan dengan gelagat antik Anwar yang berterusan mendakwa jawatan Perdana Menteri adalah miliknya.
Maka tidak hairanlah apabila sekumpulan pemimpin muda dalam PH kini
berani mempersoalkan kewajaran mencalonkan semula Anwar sebagai Perdana
Menteri.
Mereka
sebenarnya bimbang, jika ketaksuban Anwar itu tidak ditangani segera,
pasti akan menyebabkan PH terus gulung tikar pada PRU-15.
Ia akan menjadi sasaran dipersendakan jika ia dilihat tidak
konsisten menyerang kerajaan Ismail atas isu-isu yang sama mereka
menyerang kerajaan Muhyiddin.
Jika angka jangkitan Covid-19 terus meningkat, Umno nak kata siapa kerajaan gagal selepas ini?
Kalau kerajaan yang diterajui Muhyiddin Yassin dikatakan gagal oleh
Umno kerana angka jangkitan Covid-19 meningkat, apakah pula label yang
bakal digunakan terhadap kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Ismail
Sabri Yaakob?
Kabinet Ismail adalah 90% mirip pasukan yang dipimpin Muhyiddin.
Program kerajaan untuk melaksanakan penvaksinan secara agresif turut sama.
Program bantuan kewangan juga diterajui oleh orang yang sama iaitu Tengku Zafrul Aziz.
Jika kerajaan Ismail berjaya mengatasi Covid-19, ia juga bermaksud
kerajaan Muhyiddin berjaya kerana kedua-duanya menggunakan polisi dan
Kabinet yang hampir sama.
Namun, jika angka jangkitan Covid-19 tetap tidak menurun di bawah
Ismail, apakah Umno akan protes terhadap kerajaan yang kini diterajui
oleh partinya sendiri?
Ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, Umno menjadi juara memberi
cadangan untuk menyelesaikan Covid-19 dan ekonomi negara seolah-olah
apa yang dikatakan mereka pasti mujarab.
Apa yang dilakukan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara ketika itu dipersepsikan sebagai salah dan tidak berkesan.
Kini tiba masanya, Umno bangkit membantu Ismail.
Sudah pasti Covid-19 dan masalah ekonomi dapat diatasi serta-merta
dengan cadangan bernas mereka yang tidak diikuti oleh kerajaan
Muhyiddin.
Umno sepatutnya protes apabila ada makin banyak sektor ekonomi
dibuka ketika angka jangkitan Covid-19 masih tinggi kerana sebelum ini
mereka adalah pejuang tegar untuk “lockdown” sepenuhnya. MALAYSIA TODAY
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sependapat dengan Ahli Parlimen
Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said agar diadakan pilihan raya
kecil (PRK) bagi yang lompat parti.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kaedah itu diamalkan oleh beberapa
negara komanwel lain, di mana ahli parti yang mahu tukar parti atau
dipecat, mereka akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
“Pada saya, cara yang paling baik ialah melaksanakan “recall election” ataupun pemilihan semula seperti diamalkan beberapa negara komanwel lain.
“Mana-mana yang mahu tukar parti (lompat) atau dipecat parti, mereka
akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan pilihan raya kecil akan
dilaksanakan bagi kawasan parlimen tersebut.
“Cara ini lebih adil pada parti asal dan bagi pengundi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Semalam, Azalina dilaporkan menggesa kerajaan mempertimbangkan
pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau “recall election” bagi
menghalang mereka yang lompat parti.
Kata beliau, “recall election” adalah mekanisme yang membolehkan
rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya
seseorang itu melompat parti.
Dengan car aitu, katanya, ia membolehkan pilihan raya kecil diadakan
semula di kawasan tersebut untuk membolehkan rakyat memilih wakil rakyat
yang baharu.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata,
walaupun parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu
Akta anti-lompat dilaksanakan segera, ia bukan cara penyelesaiannya.
Malah, cara itu lebih parah sekiranya ada Ahli Parlimen yang sudah
lebih gemar dengan parti lain, tetapi terpaksa berada dalam parti
sendiri sebab mereka tidak dibenarkan melompat bawah undang-undang.
Ini kata beliau, lagi banyak masalah yang akan dicetuskan pada parti asal mereka. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Belum terlambat bagi Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan memberi jawatan sekurang-kurangnya
Speaker Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina
Othman Said.
Pandangan itu dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek yang menyifatkan Azalina seorang pemimpin berjiwa
besar dan perlu diberi peranan bertaraf menteri.
“Azalina sebelum ini Timbalan Speaker Dewan Rakyat, maka wajar
dia diangkat ke jawatan speaker dan mesti dimulakan untuk sesi September
ini.
“Reformasi sistem demokrasi kita mesti bermula dari Parlimen kita
sendiri. Parlimen yang kita lihat sekarang perlukan banyak pembaharuan
untuk menuju satu tahap baru bagi meletakkan Parlimen kita ke kelas
dunia,” katanya dalam hantaran Facebooknya.
Kata Ahmad Shabery, apa yang dilihat kini hanyalah perbahasan di
dewan utama walhal bagi pembuat undang-undang sepatutnya lebih banyak
kerja di peringkat lebih kecil tetapi lebih mendalam.
Misalnya jelas beliau, kerja peringkat pelbagai Jawatankuasa Parlimen
atas sesuatu hal perlunya ada pendengaran awam terhadap sesuatu dasar
yang memerlukan pemurnian yang lebih halus.
“Semuanya ini memerlukan seorang ketua Parlimen yang dinamik, seorang
demokrat dan tidak mudah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak.
“Demokrasi perlukan pendidikan yang menyeluruh, juga perlu lahirkan
lebih ramai demokrat. Mesti membudaya dalam semua segi. Bukan soal
menang kalah pilihan raya semata-mata.
“Parlimen bukan hanya punca kuasa untuk terus mencari kuasa. Ia
adalah sekolah untuk mengajar erti kebertanggungajawaban di atas amanah
yang diterima,” katanya.
Begitu juga katanya, Speaker Dewan Rakyat bukan hanya pekerjaan
kerana duduk di kerusi sahaja malah ia adalah tanggungjawab untuk
membawa perubahan kepada Malaysia. – MalaysiaGazette
RAWANG – Barisan Kabinet baharu yang dibentuk di bawah kepimpinan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebahagian besar masih mengekalkan
muka lama dianggap gagal merubah persepsi rakyat terhadap kerajaan.
Menurut Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk
Marzuki Yahya, pelantikan barisan Kabinet baharu itu juga dilihat tidak
mampu membawa negara untuk keluar dari cengkaman pandemik Covid-19 yang
semakin meruncing.
“Ini merupakan satu kekecewaan terutama bagi kita yang melihat
kepada polemik politik negara yang mana pelantikan ini bukanlah suatu
pelantikan yang dapat merubah situasi negara yang semakin meruncing
dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Dalam masa sama juga tidak dapat merubah persepsi, yang mana dilihat
sebagai sebuah kerajaan yang gagal dan orang yang gagal juga yang telah
dilantik untuk menyertai Kabinet dengan pasukan yang sama, cuma dengan
satu slogan baharu iaitu Keluarga Malaysia.
“Bagi saya ini bukanlah satu slogan Keluarga Malaysia tetapi saya
rasa dengan pelantikan sebegini ia adalah slogan ‘Keluarga 114’ itu
sahaja yang paling penting iaitu jawatan dan keutamaan kedudukan,
bukannya soal rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai barisan Kabinet
baharu yang sebahagian besarnya masih mengekalkan muka lama seperti
kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu Marzuki merasmikan program penyerahan Jalur Gemilang
bersempena Hari Kebangsaan Malaysia 2021 bagi Parlimen Selayang di
Bandar Country Homes di sini hari ini.
Pada program tersebut, beliau turut mengedarkan baucer isi minyak
percuma kepada penunggang motosikal dan penghantar makanan serta
melancarkan misi bantuan kemanusiaan bagi mangsa-mangsa tragedi kepala
air yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
mengumumkan senarai ahli Jemaah Menteri berserta Timbalan-Timbalan
Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Semua barisan menteri yang dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah
Shah pada pukul 2.30 petang, hari ini di Istana Negara. –
MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – UMNO telah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mengesahkan keputusan penangguhan
pemilihan parti itu untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan
jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan
adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS
iaitu sebelum 29 Disember 2022.
“Pada lewat petang hari ini, saya telah menerima surat daripada
RoS, Ketua Pengarah Jasri Kasim, rujukan surat PPM/WKL 251/88 JLD. 11
(1).
“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang
telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan
beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa
keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah
dibuat secara teratur,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Ahmad, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan
Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran 1/4 korum masih
perlu diadakan pada tahun ini dan tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan
kemudian.
Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang
bersabar dalam hal tersebut termasuklah RoS yang memberikan kerjasama
kepada UMNO.
“Terima kasih diucapkan kepada presiden, timbalan, naib-naib
presiden, ahli MKT kerana memberi panduan dan juga kepimpinan UMNO serta
ahli yang sabar dan tabah melalui episod yang berlaku.
“Terima kasih kepada KP RoS dan pegawainya yang telah memberikan
kerjasama baik di sepanjang semakan dan pertemuan kami,” katanya.-
MalaysiaGazette
Sekurang-kurangnya 111 majoriti diperlukan Perdana Menteri (PM)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengabsahkan kedudukannya di Dewan
Rakyat dalam undi percaya nanti, kata peguam dan penganalisis politik.
Jumlah 111 tersebut adalah majoriti mudah yang diperlukannya, jika
kurang daripada jumlah tersebut ia bermakna Ismail Sabri gagal
memperoleh majoriti mudah.
“Andainya terdapat lima Ahli Parlimen (MP) kerajaan tidak hadir
disebabkan masalah tertentu seperti Covid-19, ini bermakna blok kerajaan
hanya mempunyai 109 sokongan sekali gus gagal memperoleh majoriti mudah
atau sekurang-kurangnya 111 anggota Dewan Rakyat,” kata peguam kanan
Mohamed Haniff Khatri Abdulla dipetik laporan Utusan Malaysia.
Jika gagal dalam undian tersebut, Haniff Khatri berkata
berkemungkinan Ismail Sabri perlu mengambil langkah sama seperti Tan Sri
Muhyiddin Yassin meletak jawatannya.
“Jadi berdasarkan Perkara 43 (4), Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan,” katanya lagi.
Pandangan sama turut dilontar pensyarah undang-undang Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik
Mahmood yang berkata Ismail Sabri perlu memperoleh 111 majoriti dan
menjelaskan undi percaya adalah seolah-olah sama seperti undi tidak
percaya.
“Jadi Perdana Menteri kena berjaya dalam usul percaya sewaktu Sidang Parlimen pada bulan depan.
“Beliau seharusnya dapat sekurang-kurangnya sokongan 111 ahli
Parlimen atau lebih terhadap usul percaya ini. Undi percaya ini
seolah-olah seperti undi tidak percaya, maka Perdana Menteri kena
dapatkan sokongan majoriti,” katanya lagi.
Walaupun terdapat MP yang mungkin positif Covid-19 atau menjadi
kontak rapat, Ismail Sabri masih perlu memastikan setiap wakil kerajaan
berada dalam Dewan Rakyat dengan apa cara sekalipun.
“Sebab itu, kalau dilihat ketika pengundian Belanjawan 2021 pada
tahun lalu, ada ahli Parlimen yang hadir memakai pakai perlindungan diri
(PPE).
“Jadi ini menunjukkan kepentingan undi terhadap sesuatu usul apatah
membabitkan usul percaya kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.
Nik Ahmad Kamal berkata, usul percaya bertujuan untuk membantu
kerajaan sama ada cukup sokongan atau sebaliknya dalam meneruskan
pentadbiran termasuk mengubal polisi dan dasar negara.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos.
Terdahulu pada 16 Ogos lalu, Muhyiddin mengumumkan keputusannya
meletakkan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti sokongan PM dan
cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti
politik.
Prof
Madya Sivamurugan Pandian menegaskan, komunikasi juga memainkan peranan
penting, bagi memastikan setiap usaha dilakukan dapat memberi impak. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR: Barisan kabinet baharu berdepan cabaran untuk menyelesaikan tugas-tugas yang tidak diselesaikan kerajaan terdahulu.
Penganalisis
Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Sivamurugan Pandian
berpandangan, apa yang paling penting adalah sejauh mana cabaran itu
dapat ditangani bukan sahaja oleh menteri dan timbalannya malah seluruh
kementerian.
"Apa
yang tidak dapat dilakukan dalam 17 bulan kini perlu dibuktikan dalam
100 hari, bermakna, inilah cabaran yang paling besar yang perlu digalas
dalam kepimpinan hari ini.
"Ada
beberapa portfolio yang akan menjadi tumpuan, sudah pasti Kesihatan,
MOSTI, Pendidikan, Keselamatan, Perpaduan malahan sebelum ini prestasi
sudahpun ditujukkan cuma sejauh manakah apa yang dilakukan itu sampai
kepada masyarakat.
"Jadi, di sini saya
rasa yang penting adalah sejauh manakah cabaran ini akan diangkat
bersama bukan sahaja oleh menteri, timbalan menteri, tetapi keseluruhan
pasukan dalam kementerian tersebut perlu mempunyai aspirasi yang sama
iaitu untuk mendekati apa yang dimahukan apa yang diperlukan rakyat,"
ujarnya kepada Astro AWANI.
Pada
masa sama, Sivamurugan turut menjelaskan, komunikasi juga memainkan
peranan penting bagi memastikan setiap usaha dilakukan dapat memberi
impak.
Beliau percaya komunikasi yang ringkas, tepat dan mudah difahami itu dinantikan masyarakat.
"Tohmahan yang paling ketara dalam kabinet yang lepas adalah komunikasi.
"Saya
percaya komunikasi yang ringkas, tepat dan mudah difahami itu
dinantikan masyarakat, tetapi untuk sampai kepada masyarakat, pemimpin
dalam kabinet itu harus memahaminya terlebih dahulu.
"Bermakna,
kita mahu melihat tiada lagi kenyataan kontroversi, tiada kenyataan
yang bercanggah, tetapi menjurus kepada persoalan bagaimana mengurus
krisis ketika berhadapan dengan krisis nasional ini.
"Jadi,
komunikasi itulah saya rasa perlu melengkapi kabinet ini supaya dalam
100 hari, kita akan melihat hasil akhir bukan sahaja daripada pencapaian
setiap portfolio tetapi lebih daripada itu," katanya lagi.
Ahmad
berkata pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan
ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu
sebelum 29 Disember 2022. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
UMNO hari ini menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
(ROS) yang mengesahkan keputusan penangguhan Pemilihan UMNO untuk
penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.
Setiausaha
Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sehubungan itu pemilihan
jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan
ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu
sebelum 29 Disember 2022.
"Pada lewat petang 30 Ogos 2021, saya telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) / Ketua Pengarah Tn Hj Jasri Kasim.
"Berdasarkan
semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan
peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa
keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan
penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara
teratur.
"Oleh itu, pemilihan jawatan
UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh
yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022,"
katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Walaupun
begitu, katanya mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan
Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran 1/4 korum masih
perlu diadakan pada tarikh dalam 2021 ini.
Katanya, tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.
Ketua
Pengarah ROS, Jasri Kasim, pada 6 Ogos lalu dilaporkan berkata,
keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti
selama 18 bulan adalah tidak sah.
Katanya, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Pada 10 Ogos, Utusan Malaysia pulamelaporkan, Jasri berkata, kepemimpinan MKT UMNO hanya boleh berfungsi sebagai caretaker (sementara) sehingga pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.
Kata
Annuar, fokus kini perlu ditumpukan kepada usaha membantu rakyat dan
mewujudkan kestabilan politik agar agenda kerajaan. -Bernama
KUALA LUMPUR:
Semua pihak perlu berhenti memanjangkan isu nama kerajaan baharu di
bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau
berkata fokus kini perlu ditumpukan kepada usaha membantu rakyat dan
mewujudkan kestabilan politik agar agenda kerajaan seperti Pelan
Pemulihan Negara dapat diteruskan.
Katanya
semua pihak perlu faham bahawa kerajaan yang terbentuk sekarang adalah
berasaskan permuafakatan Ahli Parlimen yang tidak mahu melihat
ketidaktentuan politik dan kerajaan yang wujud sebelum ini berlarutan
sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
"Kalau
kita biar negara terjebak dalam ketidaktentuan politik, politik yang
berlarutan serta ketidaktentuan kerajaan, rakyat akan rugi.
"Sebab
itu saya kata cara paling baik ialah tidak usah panjangkan tentang isu
nama, kita tumpukan kerja kepada rakyat," katanya ketika mengulas
kenyataan beberapa pemimpin politik berbeza fahaman berkaitan nama
kerajaan baharu yang terbentuk ketika ini.
Ahli
Parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita pada Malam Kasih
Merdeka anjuran Rumah Prihatin@Hotel Grands Seasons sempena Hari
Kebangsaan ke-64 di sini pada Isnin.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.-- BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Isu nama kerajaan yang dibentuk ketika ini sama ada Perikatan
Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) tidak perlu dipanjangkan,
sebaliknya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa
menegaskan perlu berlaku adil kepada rakan parti lain berhubung perkara
tersebut.
Annuar berkata yang lebih penting kerajaan yang dibentuk ini adalah
kesinambungan daripada yang terdahulu dan negara tidak boleh lagi
terjebak dalam kemelut politik yang berpanjangan kerana ia akan
merugikan rakyat yang sedang berdepan krisis kesihatan Covid-19.
“Yang pentingnya mengekalkan kesinambungan untuk memastikan adanya kestabilan untuk kita mendahulukan kepentingan rakyat.
“Kalau kita biarkan negara terjebak dalam keadaan politik yang
uncertain (tidak stabil) maka rakyat yang rugi atau politiking yang
berlarutan juga rakyat yang rugi ataupun kerajaan tidak bertuan rakyat
juga rugi,” katanya semasa sidang media pada Malam Kasih Merdeka anjuran
Rumah Prihatin malam tadi.
Ujarnya lagi, tidak adil jika Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob mengisytiharkan pentadbirannya sekarang adalah dibawah
kerajaan BN, ia memandangkan terdapat beberapa parti yang lain menyokong
pembentukan kerajaan sedia ada ini.
“BN ada 41 kerusi daripada 114, kita tak boleh nak panggil kerajaan BN. Tapi boleh kata kerajaan pimpinan Barisan Nasional okay.
“Tapi kalau kita nak claim kata ini kerajaan BN sedangkan kita hanya
ada 41 sokongan daripada 114 kita tidak berlaku adil pada kawan-kawan
kita daripada parti yang lain. Sebab itu saya kata cara yang paling baik
adalah tidak dipanjangkan isu nama. Kita tumpukan kepada kerja,”
katanya lagi.
Untuk rekod, Ismail Sabri mendapat sokongan 114 MP untuk dilantik
menjadi PM, tetapi daripada jumlah itu hanya 41 MP terdiri daripada
gabungan UMNO/BN, sementara selebihnya daripada beberapa parti komponen
lain yang berada dalam PN, antaranya Bersatu, PAS, GPS dan beberapa
sokongan MP Bebas lain.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos.
Terdahulu pada 16 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan
keputusannya meletakkan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti
sokongan dan cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan
parti politik.
Tarikh persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal
Keempat Parlimen Ke-15 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 6
September ini dipinda ke 13 September depan.
Pindaan tersebut dimaklumkan dalam sepucuk surat yang dihantar
Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ahli-ahli Parlimen bertarikh 30
Ogos 2021 ditandatangani Setiausaha Dewan, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.
Sidang tersebut akan berakhir sehingga 12 Oktober.
Sidang kali ini merupakan yang kali pertama sejak Perdana Menteri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu bagi
menggantikan Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan.
Semalam, Ismail Sabri tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah
simpah rahsia Menteri dan Timbalan Menteri kerana sedang menjalani
kuarantin kendiri menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengesahkan Ismail Sabri
tidak dapat menghadiri majlis angkat sumpah jemaah Kabinetnya yang
berlangsung di Istana Negara.
Selain itu, Ismail Sabri Yaakob juga akan menguji keabsahkan
kedudukannya di Dewan Rakyat dalam undi percaya nanti bagi menjunjung
titah Yang di-Pertuan Agong.
Sekurang-kurangnya 111 sokongan MP diperlukan bagi mendapat majoriti
mudah yang diperlukannya, jika kurang daripada jumlah tersebut ia
bermakna Ismail Sabri gagal memperoleh majoriti mudah.
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir
mendesak Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan berhubung kenyataan dua
pihak yang mendakwa parti pembangkang di negara ini mendapat bantuan
ejen dan pertubuhan asing terutama Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya adalah amat malang bagi rakyat negara ini yang
bermati-matian mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara tetapi
ada pihak yang tamak sanggup bersekongkol dengan pihak asing untuk
mendapatkan kuasa pemerintahan.
Katanya, esok rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kemerdekaan ke-64
yang bermakna telah 64 tahun Malaysia bebas daripada cengkaman dan
pengaruh penjajah asing.
Beliau berkata selama 64 tahun rakyat Malaysia berdiri di atas kaki
sendiri menentukan nasib dan masa depan mengikut cara dan kemahuan tanpa
dipengaruhi mana-mana pihak lain.
“Kemerdekaan negara ini sama-sama kita pertahankan puluhan tahun
dengan tekad dan harapan tiada lagi kuasa asing yang akan campur tangan
apalagi menganggu kebebasan dan kedaulatan kita.
“Namun hari ini suatu pendedahan dibuat bahawa ada pimpinan dan
parti-parti politik rupa-rupanya sanggup bersekongkol dengan negara
asing, mendapat bantuan dan dana untuk membiayai aktiviti mereka demi
memenangi kuasa politik dan kepimpinan dalam negara.
“Malang sungguh dalam kita bermatian mempertahankan kemerdekaan dan
kedaulatan negara rupa-rupanya ada pihak semata-mata kerana tamak dan
gilakan kuasa sanggup menjual maruah dengan bersekongkol dan berkomplot
dengan kuasa asing untuk naik berkuasa.
“Sanggupkah rakyat Malaysia membenarkan tindakan keji ini dibiarkan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua
Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh
Ismail yang mendedahkan ada pemimpin politik Malaysia yang menerima
bantuan dan sokongan moral individu dan pertubuhan di luar negara,
terutama AS dalam meneruskan karier politik mereka.
Tanpa mendedahkan sama ada pemimpin politik terbabit menerima
sokongan kewangan, beliau berkata intipan yang dilakukan mendapati
pemimpin politik berkenaan turut melakukan pertemuan dengan individu
berpengaruh di luar negara.
Pada masa sama Penasihan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia
Soong mendesak PH menjelaskan kaitan dan hubungan mereka dengan National
Endowment for Democracy (NED) yang didakwa telah menyalurkan dana ke
blok pembangkang itu sepanjang sedekad lalu.
Hubungan antara PH dengan NED ini menurut Dr Kua telah didedahkan
oleh Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel
Twining, tiga tahun lalu.
Twining mendedahkan IRI telah berkerjasama parti-parti pembangkang Malaysia sejak 2002 dengan bantuan NED.
Menurut Twining selama 15 tahun melalui NED mereka berkerja untuk memperkukuhkan kedudukan parti-parti pembangkang di Malaysia.
Dr Kua menambah bahawa SUARAM mendapat tahu yang NED merupakan ‘CIA
soft power front’ yang digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sejak
beberapa tahun.
“Jadi selama 15 tahun, dengan sumber NED, kami berusaha menguatkan
parti pembangkang Malaysia,” kata Twining dalam video yang dikongsikan
Kua.
Tuduhan Pakatan Harapan bahawa Perikatan Nasional merupakan kerajaan yang gagal membenteras Covid-19 adalah satu pembohongan.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tugas Kerajaan
Perikatan Nasional dalam menyelesaikan pandemik tersebut masih belum
selesai.
“Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu
pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya
masih dalam perjalanan. Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa
penamatnya.
“Khusus kepada barisan Kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas,
ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan: “Biarkan anjing dan
serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan.” kata
Abdul Hadi dalam kenyataan di media sosial.
Abdul Hadi berkata, kerakusan untuk berkuasa semula menjadi faktor
Pakatan Harapan menolak tawaran kerjasama yang dihulurkan oleh Tan Sri
Muhyiddin Mohd. Yassin sebelum meletakkan jawatan sebagai perdana
menteri.
Kini, meskipun agak terlewat, pembangkang menerima tawaran yang sama
yang diberikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang
baharu.
“Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab
demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli
politik.
“Satu keadaan yang sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera
kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang
gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15,”
katanya.
Sementara itu Abdul Hadi menasihatkan agar kerajaan pimpinan Ismail
Sabri mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina
daripada semua pihak.
Kabinet baharu perlu melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada.
Kerajaan katanya, perlu melibatan badan bukan kerajaan dan parti
pembangkang bagi mempercepatkan proses untuk menghentikan penularan
virus Covid-19.
Abdul Hadi berkata, mereka yang menjadi mangsa wabak Covid-19 tidak
mengenal sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang dan kalangan yang
membisu di atas pagar.
“Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.
“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas.
“Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan
sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga,”
katanya.-SM
JEMAAH Menteri yang mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan
Yang di-Pertuan Agong hari ini perlu segera memberikan tumpuan kepada
usaha untuk memulihkan negara daripada wabak Covid-19.
Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, Kabinet
yang baru dilantik perlu menyalurkan bantuan kepada rakyat yang
memerlukan selain berusaha memacu pertumbuhan ekonomi.
“Program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan
dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini telah meneria dua
dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan
mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut
fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mesti dilaksanakan dengan teratur
tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak Covid-19.
“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mestilah diteruskan
untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara,”
katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dalam kenyataan hari
ini turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakon atas pelantikan menteri dan timbalan menteri dari
parti komponen PN.
Katanya, pelantikan jawatan tersebut merupakan satu amanah berat yang
perlu dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras
dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan.
“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah
Menteri adalag badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan
untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.
“Maka fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi
kepentingan rakyat dan negara,” kata Muhyiddin yang juga Presiden
Bersatu.-SM
Seramai
30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan
di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.
Turut
berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat
Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mereka
diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana
Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas yang terdiri
daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan
menteri.
Dua daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Mereka
ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik
sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan
menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan Datuk Mohamad Alamin
(Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang
disahkan positif COVID-19.
Perdana Menteri, yang dijadual hadir,
turut tidak dapat berbuat demikian kerana menjalani kuarantin kendiri
bermula hari ini setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit
COVID-19.
Berlangsung di Balairung Seri mulai 2.30 petang, istiadat itu bermula dengan lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan.
Ia
kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia
serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha
Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Istiadat berkenaan diadakan secara
berkumpulan dengan barisan menteri dibahagikan kepada lima kumpulan
manakala timbalan menteri enam kumpulan.
Kumpulan pertama menteri
seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan iaitu Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (Gombak), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein -
Menteri Pertahanan (Sembrong), Datuk Seri Fadillah Yusof - Menteri
Kerja Raya (Petra Jaya) dan Senator Dr Mohd Radzi Jidin - Menteri
Pendidikan.
Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Kewangan
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri
M. Saravanan (Tapah).
Kumpulan kedua:
Datuk
Seri Dr Maximus Johnity Ongkili - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) (Ahli Parlimen Kota Marudu)
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee - Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Beluran)
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man - Menteri Alam Sekitar dan Air (Kubang Kerian)
Datuk Seri Hamzah Zainudin - Menteri Dalam Negeri (Larut)
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Kapit)
Datuk Seri Takiyuddin Hassan - Menteri Tenaga dan Sumber Asli (Kota Bharu)
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad - Menteri Pengajian Tinggi (Parit Sulong)
Kumpulan ketiga
Datuk Seri Rina Mohd Harun - Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Titiwangsa)
Tan Sri Annuar Musa - Menteri Komunikasi dan Multimedia (Ketereh)
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kepala Batas)
Khairy Jamaluddin - Menteri Kesihatan (Rembau)
Datuk Halimah Mohamed Sadique - Menteri Perpaduan Negara (Kota Tinggi)
Datuk Seri Dr Adham Baba - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Tenggara)
Datuk Seri Mustapa Mohamed - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) (Jeli)
Kumpulan keempat
Datuk Saifuddin Abdullah - Menteri Luar (Indera Mahkota)
Datuk Dr Zuraida Kamaruddin - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (Ampang)
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) (Mersing)
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) (Santubong)
Datuk Seri Nancy Shukri - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Batang Sadong)
Kumpulan kelima
Datuk Seri Mahdzir Khalid - Menteri Pembangunan Luar Bandar (Padang Terap)
Datuk Seri Shahidan Kassim - Menteri Wilayah Persekutuan (Arau)
Datuk Seri Faizal Azumu - Menteri Belia dan Sukan (Tambun)
Senator Idris Ahmad - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Istiadat
kemudian menyaksikan giliran 37 timbalan menteri pula mengangkat sumpah
jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebelum diakhiri dengan sesi
bergambar barisan menteri dan timbalan menteri dengan Seri Paduka
berdua.- Bernama
Akta
antilompat parti bukanlah penyelesaian kepada masalah ahli parlimen
melompat ke parti lain setelah menang dalam pilihan raya umum (PRU) di
bawah tiket parti berbeza, kata Najib Razak.
Secara sinis dia
berkata parti yang paling banyak menerima ‘katak politik’ mahu akta
antilompat parti dilaksanakan segera, namun undang-undang itu hanya akan
menyebabkan banyak masalah buat parti asal, sekiranya ahli parlimen
yang mahu melompat tidak dibenarkan berbuat demikian.
Sebaliknya, kata ahli parlimen Pekan itu, pilihan yang paling baik ialah mengadakan pilihan raya pecat atau 'recall election'.
“Walaupun
parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu akta
antilompat parti dilaksanakan segera (mungkin bimbang katak akan lompat
lagi kot), mengharamkan ahli parlimen dari lompat ke parti lain setelah
menang dalam PRU bukan cara penyelesaiannya.
“Ia lebih parah
sekiranya ada ahli parlimen yang sudah lebih gemar dengan parti lain
tetapi terpaksa berada dalam parti sendiri sebab mereka tidak dibenarkan
untuk melompat bawah undang-undang. Lagi banyak masalah yang akan
dicetuskan pada parti asal mereka.
“Pada saya, cara yang paling
baik ialah melaksanakan recall election ataupun pemilihan semula -
seperti diamalkan oleh beberapa negara komanwel lain di mana ahli parti
yang mahu tukar parti atau dipecat parti mereka akan hilang kelayakan
sebagai ahli parlimen dan pilihan raya kecil akan dilaksanakan bagi
kawasan parlimen tersebut.
“Cara ini lebih adil pada parti asal dan bagi pengundi,” katanya di Facebook hari ini.
Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, Najib dipercayai merujuk parti Bersatu yang banyak menerima ahli Umno yang bertukar haluan setelah menang di bawah tiket Umno dalam PRU lalu.
Pilihan
raya pecat adalah sistem yang membolehkan pengundi di kawasan pilihan
raya memecat wakil rakyat mereka sebelum tamat penggal perkhidmatan.
Sejak Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi perdana menteri, gesaan semakin kencang daripada pembangkang agar akta antilompat parti - yang sebelum ini diperjuangkan mereka - dapat diwujudkan.
Ia
di tengah perbahasan sama ada pembangkang wajar memeterai perjanjian
kepercayaan dan perbekalan dengan pentadbiran baru pimpinan Ismail.
Cadangan
pilihan raya pecat beberapa kali timbul di sebalik kelantangan gesaan
untuk akta antilompat parti, antaranya penganalisis politik Prof Wong
Chin Huat yang melihat pemecatan ahli parlimen yang lompat parti lebih wajar ditentukan oleh pengundi kawasan berkenaan.
Usul Wong, sekiranya pengundi tidak berpuas hati dengan lompat parti di kawasan mereka, mereka boleh membuat petisyen penyingkiran terhadap ahli parlimen terbabit sebelum membuat pilihan raya semula tanpa harus menunggu habis penggal.
Di Malaysia, Pulau Pinang
merupakan satu-satunya negeri yang meluluskan akta antilompat parti,
yang mewajibkan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka jika melompat
parti.
DUN S'GOR | Kerajaan Selangor telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei.
Perkara berkenaan hanya didedahkan ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Exco
Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli
Selangor Lee Hoy Sian (PH-Kajang) memberitahu sidang DUN bahawa kerajaan
negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan keseluruhan
kawasan sebagaimana rancangan asal selepas mendapat bantahan komuniti.
Lee
berkata keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
(MMKN) ke-17/2021 pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19
Mei.
Menurutnya,
MMKN telah memutuskan seluas kira-kira 536.70 hektar daripada
keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta di bawah Seksyen
12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.
“Jumlah
keluasan HSKLU yang ingin dinyahwarta ini adalah kurang 45 peratus
daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu berjumlah kira-kira 991.90
hektar.
“Hal ini kerana kerajaan negeri telah mengambil kira
bantahan dan kepentingan biodiversiti serta kepentingan Orang Asli,
justeru hanya sebahagian HSKLU yang dinyahwarta,” katanya.
Penjelasan
Lee bagi menjawab soalan bertulis daripada Elizabeth Wong (PH-Bukit
Lanjan), Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku), Dr Ahmad Yunus Hairi
(PAS-Sijangkang), Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang), R Rajiv
(PH-Bukit Gasing) yang ingin mengetahui berhubung penyahwartaan Hutan
Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan cadangan penambahan keluasan Hutan
Simpan Kekal.
K'jaan ganti kawasan lain gazet HSK
Pun
begitu, kata Lee Selangor meluluskan 581.48 hektar tanah di daerah
Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat sebagai kawasan gantian
Hutan Simpan Kekal (HSK) pada Mei lalu.
Kawasan tersebut
melibatkan mukim Sungai Panjang daerah Sabak Bernam seluas kira-kira
308.62 hektar: Ampang Pechah, mukim Buloh Telor daerah Hulu Selangor
(208.98 hektar) dan Bukit Broga, mukim Semenyih daerah Hulu Langat
seluas 63.88 hektar.
"Secara umumnya, kerajaan negeri Selangor masih dapat mengekalkan keluasan HSK di Selangor tidak kurang daripada 30 peratus.
“Setelah
mengambil kira keluasan HSK yang akan dinyahwartakan dan kawasan
gantian baharu, jumlah keluasan HSK adalah berjumlah kira-kira
250,255.36 hektar,” katanya.
Pada
bulan Mac tahun lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan
dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan
Kekal Kuala Langat Utara.
Firma tersebut ialah Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).
Pendengaran
awam mengenai rancangan penghapusan pewartaan itu diadakan pada bulan
September tahun lalu, yang mana ramai pihak membantah tindakan tersebut.
Hutan
di Kuala Langat Utara merupakan hutan paya gambut yang jarang-jarang
ditemui, berhampiran Cyberjaya dan habitat semula jadi untuk haiwan yang
diancam kepupusan.
'Gunalah otak!'
Elizabeth
Wong pada sidang DUN juga dengan tegas mengecam Majlis Mesyuarat
Kerajaan negeri kerana enggan memperhatikan keputusan dewan undangan
negeri Selangor pada bulan November tahun lalu untuk membatalkan
rancangan penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.
Pada waktu itu, DUN sebulat suara menyokong usul yang dikemukakan oleh Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik).
Wong
yang juga bekas exco alam sekitar berpendapat Selangor mempunyai tanah
yang cukup untuk pembangunan dan oleh demikian negeri itu tidak boleh
mengorbankan hutan simpan bagi tujuan komersial.
"Kita
boleh pertimbangkan (membangunkan tanah) jika ia demi kepentingan orang
ramai. Tapi bukan untuk ketamakan dan keuntungan pihak swasta.
"Saya nak tanya YB Kajang (Lee), siapa akan ambil milik tanah tersebut. Apa nama syarikat itu? Siapa pemilik tersebut?
"Saya rasa dewan ini perlu jawapan yang lebih kukuh dan teliti daripada kerajaan negeri Selangor.
"Kita bukan macam negeri-negeri lain, senang beri tanah untuk balak. Senang beri tanah untuk pihak swasta bangunkan apa-apa.
"Saya
amat kesal. Amat kecewa dengan kerajaan negeri Selangor. Kamu ada
keupayaan, kamu ada otak tetapi tidak menggunakan ke tahap kapasiti
penuh," bidasnya.
Usul Najwan tak mengikat
Sebagai
jawapannya, Lee menjelaskan usul Najwan tidak mempunyai kesan yang
mengikat pada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Usul
daripada individu di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat, adalah satu usul
yang menjadi panduan kepada kita ia bukan mengikat keputusan MMKN.
"MMKN boleh membuat keputusan," katanya.
Jelasnya lagi, keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh majlis mesyuarat Kerajaan Selangor.
Mengenai
hujah Wong, bahawa tindakan kerajaan negeri salah dalam mengeluarkan
hutan paya gambut yang jarang-jarang ditemui itu sebagai hutan simpan,
Lee berpendapat "hutan gantian" di Sungai Panjang juga merupakan kawasan
paya gambut.
Katanya, seorang perunding telah menasihatkan
kerajaan negeri bahawa kepelbagaian bio dalam hutan simpan "gantian"
hampir sama dengan hutan simpan Kuala Langat.
Mengenai identiti
pemaju, Lee mendedahkan bahawa Gabungan Indah Sdn Bhd akan membangunkan
kawasan seluas 494.7 hektar di hutan yang telah dinyahwartakan status
perlindungan alam sekitarnya itu.
Gabungan Indah dimiliki
sepenuhnya oleh Venturescape Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh
Perdana Parkcity - pemaju Desa Parkcity di Kuala Lumpur.