HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2021

Jangan salahkan rakyat jika imej ahli politik buruk di mata mereka - Zambry

Amirrul Rabbani
Jangan salahkan rakyat jika imej ahli politik buruk di mata mereka - Zambry
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan, rakyat kini sedang memerhatikan gerak kerja kerja ahli-ahli politik. - Gambar Astro AWANI
 
IPOH: Masyarakat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mempunyai tanggapan negatif terhadap golongan ahli politik.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ini adalah kerana rakyat sedang memerhatikan gerak kerja kerja ahli-ahli politik.
 
Menurut Zambry, umum sedia maklum, imej ahli dan parti politik ketika ini sangat buruk di mata rakyat termasuk persepsi golongan ini dianggap sebagai mementingkan kuasa, diri selain dilihat tidak bersimpati dalam menyelamatkan rakyat dan negara.
 
“Acapkali parti politik akan dilihat bertelagah tidak mengira tempat. Sampaikan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.
 
“Jadi, kita tidak boleh salahkan masyarakat sekiranya mereka mempunyai persepsi yang negatif seperti itu. Kerana mereka memang memerhatikan kita dan cara kita bekerja,” kata Zambry ketika 
membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Khamis.
 
Sehubungan itu, Zambry menasihatkan semua ahli politik agar menukar cara bekerja selain membawa amalan atau budaya baharu dengan mempamerkan kematangan dan profesionalisme yang lebih tinggi.
 
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut menggesa semua pihak mengenepikan seketika ketaksuban dan ideologi politik masing-masing dan memberi fokus kepada rakyat serta tanah air.
 
“Carilah persefahaman yang membawa kepada kebaikan. Buka ruang kerjasama tanpa prejudis. Raikan perbezaan pendapat dengan penuh keterbukaan. Berlapang dadalah dengan cara kerja yang berbeza. Pupuklah perpaduan dan rasa kekitaan dalam budaya kerja yang inklusif.
 
“Yang pasti, kita semua mahukan yang terbaik untuk masyarakat dan dalam konteks semasa, tiga perkara utama mesti kita berikan perhatian iaitu memerangi COVID-19, membina semula ekonomi dan mempersiap masyarakat dan negara ke arah PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).
 
“Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakan-rakan yang berhormat untuk membawa amalan dan budaya politik aras tinggi ini di negeri Perak,” kata Zambry lagi.
 
Amalan dan budaya politik aras tinggi, jelas beliau, perlu dilaksanakan kerana cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi di Perak amat mencanar dan memerlukan penglibatan semua pihak yang merentasi politik kepartian.
 
“Kita tidak lagi boleh duduk mengesampingkan diri kita antara kelompok itu dan kelompok ini atau parti itu dan parti ini.
 
“(Ini) kerana cabaran dalam konteks negeri Perak memerlukan penglibatan semua pihak seperti dalam beberapa bidang termasuk dalam konteks ekonomi, pendidikan, kesihatan mental masyarakat dan lain-lain,” jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: