HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Ogos 2021

Amanah jangka kegagalan kerajaan terdahulu berulang

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
SYED OTHMAN SYED ABDULLAH

PASIR GUDANG: Barisan Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang masih mengekalkan beberapa muka lama hanya akan mengulangi kegagalan kerajaan terdahulu.

Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata, rakyat juga kecewa kerana menjangkakan muka baharu dilantik sebagai jemaah menteri yang tampil dengan idea-idea segar dan perancangan lebih berkesan.

“Rakyat Malaysia tidak mahu lagi dipimpin kerajaan yang gagal fasa kedua. Cukup-cukuplah menggunakan perkataan ‘demi kepentingan rakyat dan negara’ kerana hakikatnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal fasa satu kini akan berterusan dalam fasa kedua.

“Nasib rakyat dan negara telah diperjudikan oleh para pemimpin yang rakus serta tamakkan kuasa serta habuan diri sendiri. Ini telah diterjemahkan dalam Kabinet Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Othman berkata, sebagai contoh pelantikan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang kembali menjadi Menteri Pengajian Tinggi sedangkan semasa menerajui portfolio tersebut tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

Dakwanya, Ahli Parlimen Parit Sulong itu tidak menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi penuntut dan universiti awam malah ‘lari’ dengan meletak jawatan semasa khidmatnya amat diperlukan.

“Begitu juga dengan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin yang dilantik semula sebagai Menteri Kanan Pendidikan yang dilihat kurang cemerlang dalam portfolio disandangnya terutama janji-janji dibuatnya sebelum ini.

“Mana perginya janji untuk memberi komputer riba percuma untuk keluarga B40? Mengapa pelajar sekolah masih tidak diberikan vaksin sepenuhnya? Apa penyelesaian atasi masalah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan ketika ini,” soalnya. 

Beliau juga berpendapat, mengapa meletakkan tempoh percubaan 100 hari untuk Kabinet baharu yang menampilkan majoriti muka lama sedangkan mereka di dalam kerajaan sebelum ini tidak berprestasi semasa memerintah selama 17 bulan.

Jelasnya, Kabinet baharu perlu lebih ‘segar’ dan meyakinkan rakyat apatah lagi dalam keadaan negara yang sedang meruncing dengan krisis ekonomi dan kesihatan terutama masih bergelut dengan pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: