PETALING JAYA: Pengerusi Umno Pahang menyifatkan hasrat Bersatu untuk bertanding di lima kerusi Parlimen dan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tidak masuk akal kerana parti itu tidak mempunyai asas kukuh di negeri itu.
Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga menteri besar Pahang berkata, satu-satunya kerusi dipegang parti itu pada masa ini adalah di Indera Mahkota, hanya selepas wakil rakyatnya, Saifuddin Abdullah menyertai Bersatu tahun lalu.
“Kita ada masanya kena realistik dan praktikal, kalau hendak berunding pun biarlah yang meminta itu jangan tamak manakala memberi pun jangan kedekut.
“Dalam kes Bersatu ini, di Pahang mereka tiada kerusi pun. (kerusi DUN) Barisan Nasional (BN) ada 25, PAS (lapan) dan Pakatan Harapan (PH) (sembilan).
“Parlimen pun BN menang sembilan, Indera Mahkota asalnya PKR lepas itu lompat yang kita boleh anggap tidak sepenuhnya Bersatu dan PH ada empat,” katanya dalam temu bual disiarkan di Facebook PahangKu Media malam tadi.
Difahamkan lima kerusi Parlimen di Pahang yang sedang diintai Bersatu adalah Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong, yang semuanya dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Wan Rosdy berkata, Bersatu tidak pernah berjumpa atau berunding mengenai pembahagian kerusi, sebaliknya terus membuat pengumuman untuk bertanding.
“Tiada asas langsung yang kita rasa tidak masuk akal, agak-agaklah. Saya ini bukan ‘panas’ tetapi lain bila dia datang minta lima kerusi dan kata hendak tanding sana-sini serta mula berkempen.
“Malah seperti saya dedahkan ketika perhimpunan agung Umno lalu, ada usaha pula hendak beli wakil rakyat kita, ini tidak sihat dan matang,” katanya.
Jelasnya, Umno Pahang tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PAS seperti ditetapkan dalam Muafakat Nasional malah turut membantu wakil rakyat pembangkang untuk membantu masyarakat.
“Kita tiada masalah dengan PAS, PAS pun tiada masalah dengan kita, kita pun bantu PH,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan