HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Ogos 2021

Akta antilompat bukan penyelesaian, 'recall election' paling baik - Najib

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Akta antilompat parti bukanlah penyelesaian kepada masalah ahli parlimen melompat ke parti lain setelah menang dalam pilihan raya umum (PRU) di bawah tiket parti berbeza, kata Najib Razak.

Secara sinis dia berkata parti yang paling banyak menerima ‘katak politik’ mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera, namun undang-undang itu hanya akan menyebabkan banyak masalah buat parti asal, sekiranya ahli parlimen yang mahu melompat tidak dibenarkan berbuat demikian.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Pekan itu, pilihan yang paling baik ialah mengadakan pilihan raya pecat atau 'recall election'.

“Walaupun parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera (mungkin bimbang katak akan lompat lagi kot), mengharamkan ahli parlimen dari lompat ke parti lain setelah menang dalam PRU bukan cara penyelesaiannya.

“Ia lebih parah sekiranya ada ahli parlimen yang sudah lebih gemar dengan parti lain tetapi terpaksa berada dalam parti sendiri sebab mereka tidak dibenarkan untuk melompat bawah undang-undang. Lagi banyak masalah yang akan dicetuskan pada parti asal mereka.

“Pada saya, cara yang paling baik ialah melaksanakan recall election ataupun pemilihan semula - seperti diamalkan oleh beberapa negara komanwel lain di mana ahli parti yang mahu tukar parti atau dipecat parti mereka akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan pilihan raya kecil akan dilaksanakan bagi kawasan parlimen tersebut.

“Cara ini lebih adil pada parti asal dan bagi pengundi,” katanya di Facebook hari ini.

Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, Najib dipercayai merujuk parti Bersatu yang banyak menerima ahli Umno yang bertukar haluan setelah menang di bawah tiket Umno dalam PRU lalu.

Pilihan raya pecat adalah sistem yang membolehkan pengundi di kawasan pilihan raya memecat wakil rakyat mereka sebelum tamat penggal perkhidmatan.

Sejak Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi perdana menteri, gesaan semakin kencang daripada pembangkang agar akta antilompat parti - yang sebelum ini diperjuangkan mereka - dapat diwujudkan.

Ia di tengah perbahasan sama ada pembangkang wajar memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan dengan pentadbiran baru pimpinan Ismail.

Cadangan pilihan raya pecat beberapa kali timbul di sebalik kelantangan gesaan untuk akta antilompat parti, antaranya penganalisis politik Prof Wong Chin Huat yang melihat pemecatan ahli parlimen yang lompat parti lebih wajar ditentukan oleh pengundi kawasan berkenaan.

Usul Wong, sekiranya pengundi tidak berpuas hati dengan lompat parti di kawasan mereka, mereka boleh membuat petisyen penyingkiran terhadap ahli parlimen terbabit sebelum membuat pilihan raya semula tanpa harus menunggu habis penggal.

Di Malaysia, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang meluluskan akta antilompat parti, yang mewajibkan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka jika melompat parti.

Tiada ulasan: