MALAYSIAKINI
Kesediaan DAP untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh disalah anggap sebagai usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
"Ini tidak benar dan jauh daripada kebenaran. DAP akan tetap berada dalam pembangkang untuk memainkan peranan perlembagaan kami sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan, membawa suara rakyat, membela cita-cita dan prinsip serta melawan ketidakadilan.
"Kami sedia bekerjasama demi untuk melaksanakan reformasi institusi, terutama pindaan perlembagaan yang memerlukan dua per tiga majoriti untuk menggubal Undang-undang Anti Lompat Parti," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Lim, yang juga anggota parlimen Bagan, menyatakan bahawa Malaysia seperti terperangkap di dalam mimpi buruk yang tiada henti dengan peningkatan pandemik Covid-19 kepada rekod tertinggi 1,706,089 kes jangkitan dan 16,087 kematian serta krisis ekonomi yang telah mengancam kelangsungan hidup.
"Bagi menghidupkan kembali Impian Merdeka sebuah negara yang dengan bangganya mengambil tempat di kalangan negara maju, perlu ada usaha keseluruhan masyarakat dan kesatuan untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan sekarang.
"DAP bersedia melihat ke hadapan dan mengambil langkah sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Ismail dengan mengambil guna Pelan Reset Covid-19 Negara dan Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion untuk mengembalikan negara dan ekonomi kita kepada situasi nomal.
"Rancangan normalisasi ini akan membolehkan kita meneruskan kehidupan kita, bekerja untuk mencari rezeki, meneruskan perniagaan kita, kembali ke sekolah dan memberi inspirasi kepada para golongan muda agar mereka boleh menanam cita-cita untuk merealisasikan potensi penuh mereka berbanding masa depan yang gelap akibat 'total lockdown' dan bergantung pada bakul makanan," katanya.
Lim berkata dengan satu daripada setiap 18 rakyat Malaysia yang sudah dijangkiti Covid-19, menunggu bukan lagi pilihan.
Katanya, rancangan 'reset' perlu mempercepatkan vaksinasi, menyediakan pemeriksaan ujian massa, serta memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan dikendalikan dengan baik dan diberikan peruntukan sepenuhnya dengan katil, ubat-ubatan, dan kemudahan ICU yang mencukupi untuk merawat pesakit.
Tambahnya, Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM 45 bilion perlu memberi penumpuan kepada bantuan kewangan dan suntikan dana secara terus serta berkala dan bukannya pendekatan lapuk "one-off" dan bantuan tidak langsung seperti pinjaman dan jaminan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan