Tiada lantikan TPM mungkin hasil gagal capai kata sepakat Bersatu, pecahan PKR
BANGI – Meskipun majoriti nama-nama menteri yang diumumkan hari ini terdiri daripada barisan Kabinet lama, namun pengekalan portfolio sesetengah kementerian dilihat sebagai satu tindakan baik.
Pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, mengekalkan portfolio adalah bagus daripada segi penerusan momentum bagi para menteri yang berprestasi di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Namun, terdapat juga beberapa pertukaran portfolio yang berlaku.
“Mengekalkan Menteri Kewangan adalah satu tindakan betul dan bijak pada pandangan saya.
“Tetapi menukar portfolio Khairy Jamaluddin adalah mungkin sedikit mengecewakan kecuali jika pertukaran dibuat ke kementerian yang lebih kanan (pertahanan, pendidikan atau ekonomi contohnya),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala, ‘muka’ baharu yang dibawa masuk seperti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilihat hanya untuk menambah komposisi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Kabinet, tambahnya.
“Sukar untuk menilai kemampuan beliau disebabkan sebelum ini tempoh menjadi Menteri Besar Perak juga agak singkat,” kata Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) itu.
Selain itu, beliau berkata, seorang lagi ‘muka’ baharu yang dinamakan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Senator Idris Ahmad dari PAS yang menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri turut mencuri perhatian.
“Namun pada hemat saya beliau memang layak, lagipun perlu ada pengganti bagi Datuk Seri Khairuddin Aman Razali yang digugurkan disebabkan prestasi dan kontroversi,” katanya.
Bagaimanapun, menilai secara keseluruhan, Lukman berkata, bilangan menteri seramai 30 orang masih agak besar, selain tidak ada kementerian baharu, tiada penyusunan semula atau perubahan besar dari kerangka asas Kabinet sebelum ini.
“Mungkin Perdana Menteri membayangkan ini hanyalah Kabinet sementara sehingga PRU15, jadi tidak berbaloi untuk membuat banyak rombakan dan perubahan.
“Ketiadaan pelantikan Timbalan Perdana Menteri pula mungkin hasil kegagalan untuk mencapai kata sepakat antara Bersatu dan pecahan PKR. Perkembangan ini menarik untuk diteliti lebih dalam lagi.
“Apa-apa pun tahniah dan selamat bekerja untuk rakyat diucapkan kepada semua. Kami akan terus memerhati dan menilai untuk masa depan negara yang lebih baik insya-Allah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan