HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2021

Pencapaian 100 hari: Menyelesaikan tugas kerajaan terdahulu antara cabaran besar Kabinet baharu

Khairunnisa Kasnoon
Pencapaian 100 hari: Menyelesaikan tugas kerajaan terdahulu antara cabaran besar Kabinet baharu
Prof Madya Sivamurugan Pandian menegaskan, komunikasi juga memainkan peranan penting, bagi memastikan setiap usaha dilakukan dapat memberi impak. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Barisan kabinet baharu berdepan cabaran untuk menyelesaikan tugas-tugas yang tidak diselesaikan kerajaan terdahulu.
 
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Sivamurugan Pandian berpandangan, apa yang paling penting adalah sejauh mana cabaran itu dapat ditangani bukan sahaja oleh menteri dan timbalannya malah seluruh kementerian.
 
"Apa yang tidak dapat dilakukan dalam 17 bulan kini perlu dibuktikan dalam 100 hari, bermakna, inilah cabaran yang paling besar yang perlu digalas dalam kepimpinan hari ini.
 
"Ada beberapa portfolio yang akan menjadi tumpuan, sudah pasti Kesihatan, MOSTI, Pendidikan, Keselamatan, Perpaduan malahan sebelum ini prestasi sudahpun ditujukkan cuma sejauh manakah apa yang dilakukan itu sampai kepada masyarakat.
 
"Jadi, di sini saya rasa yang penting adalah sejauh manakah cabaran ini akan diangkat bersama bukan sahaja oleh menteri, timbalan menteri, tetapi keseluruhan pasukan dalam kementerian tersebut perlu mempunyai aspirasi yang sama iaitu untuk mendekati apa yang dimahukan apa yang diperlukan rakyat," ujarnya kepada Astro AWANI.

Pada masa sama, Sivamurugan turut menjelaskan, komunikasi juga memainkan peranan penting bagi memastikan setiap usaha dilakukan dapat memberi impak.
 
Beliau percaya komunikasi yang ringkas, tepat dan mudah difahami itu dinantikan masyarakat.
"Tohmahan yang paling ketara dalam kabinet yang lepas adalah komunikasi.
 
"Saya percaya komunikasi yang ringkas, tepat dan mudah difahami itu dinantikan masyarakat, tetapi untuk sampai kepada masyarakat, pemimpin dalam kabinet itu harus memahaminya terlebih dahulu.
 
"Bermakna, kita mahu melihat tiada lagi kenyataan kontroversi, tiada kenyataan yang bercanggah, tetapi menjurus kepada persoalan bagaimana mengurus krisis ketika berhadapan dengan krisis nasional ini.
 
"Jadi, komunikasi itulah saya rasa perlu melengkapi kabinet ini supaya dalam 100 hari, kita akan melihat hasil akhir bukan sahaja daripada pencapaian setiap portfolio tetapi lebih daripada itu," katanya lagi.

Tiada ulasan: