HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2021

PAS cadangkan Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Pusat

 Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mencadangkan kepada kerajaan Selangor supaya bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan usaha menangani pandemik Covid-19 di sektor industri lebih berkesan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, perancangan yang boleh dibincangkan dengan Kerajaan Pusat penting untuk membolehkan kawalan Covid-19 dilakukan dengan lebih berkesan, sekali gus memastikan sektor industri terus dibuka.

“Mungkin dari segi teknikal, selain mematuhi SOP yang ketat, sebagai contoh boleh membenarkan pekerja membuat saringan Covid-19 setiap dua minggu sekali. Jika negatif boleh bekerja dan jika positif, dikecualikan untuk membolehkan akhirnya industri boleh bergerak dan ekonomi Selangor bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan lisan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 di sini, hari ini.

Amirudin ketika menjawab soalan berkata, kerajaan negeri melalui Pelan Pemulihan Negara meletakkan vaksinasi sebagai syarat untuk kilang beroperasi, selain perlu mematuhi pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, katanya kilang di Selangor hanya akan dibenarkan beroperasi sepenuhnya jika lebih 80 peratus pekerja telah mendapat vaksin dua dos lengkap sebagai antara strategi untuk mengelak wabak Covid-19 merebak di kalangan pekerja kilang.

Katanya, kilang yang kadar vaksinasi kurang daripada 80 peratus, hanya dibenarkan beroperasi menggunakan 60 peratus tenaga kerja.

Dr Ahmad Yunus turut mengemukakan satu soalan tambahan mengenai bantuan kewangan kepada sukarelawan di kalangan anak muda.

Soalan dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, yang memberitahu bahawa program sukarelawan melalui Selangor Volunteer (Serve) mendapat sambutan baik.

Katanya, antara program baharu Serve ialah menghantar sukarelawan ke Kedah untuk membantu mangsa banjir kilat akibat tragedi kepala air Gunung Jerai. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: