HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2021

Kabinet baharu wajar terus agenda kerajaan PN

Oleh SRIHAYANIS ABASRI
Ahli Jawatankuasa PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berharap kabinet baharu yang akan terbentuk merupakan sebuah kabinet yang mengutamakan solusi berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, beliau juga berharap kabinet baharu ini akan meneruskan agenda-agenda yang telah disebut oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Saya mengharapkan kabinet baharu yang akan dibentuk ini ialah satu kabinet yang memberikan fokus untuk menyelesaikan isu-isu dan masalah-masalah rakyat, khususnya move forward kepada pandemik Covid-19 ini.

“Selain itu, meneruskan agenda-agenda yang telah digariskan oleh kabinet sebelum ini yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa yang baik diteruskan, dan apa yang kurang dipertingkatkan,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas berhubung akta anti lompat parti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk itu, Malaysia perlu membuat perubahan menyeluruh kepada sistem yang lebih demokratik dalam pentadbiran negara.

Perkara itu termasuk kebebasan media, hak parti-parti mendapat peruntukan khusus daripada kerajaan, selain akta anti lompat parti, ujarnya.

“Adapun akta anti lompat ini bagi kita, PAS, kita mempunyai cara dan kaedah yang tersendiri. Itulah kita tekankan aspek tarbiah, bai’ah dan seumpamanya. Itu yang membezakan PAS dengan parti-parti politik yang lain .

“Harapan kepada kabinet baru, kita melihat perubahan yang berlaku baru-baru ini satu perubahan yang positif.

“Apa yang penting ialah kita berjaya mempertahankan kerajaan yang didominasi oleh Melayu bumiputera islam yang merupakan satu faktor dan aspek yang penting kepada kestabilan politik negara kita, khususnya dalam konteks politik semasa kita berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: