HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Ogos 2021

PH belum boleh pasang ‘khemah besar’, kata penganalisis

 

(FMT) – Dua penganalisis politik melihat idea Pakatan Harapan (PH) menyatukan semua parti pembangkang tidak akan berjaya sehinggalah mereka boleh bersetuju dengan seorang calon yang akan diangkat sebagai perdana menteri.

Pesaing utama adalah Presiden PKR Anwar Ibrahim; Presiden Warisan Shafie Apdal dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, kenyataan PH menyatakan Anwar akan bertemu dengan pemimpin parti pembangkang lain bagi menjemput mereka bersama dalam pakatan atau bekerjasama di bawah konsep “khemah besar” bagi mengukuhkan blok pembangkang.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kerangka khemah besar mungkin boleh berjaya, tetapi hanya pada teori. Ia tidak akan berhasil sekiranya perbezaan antara parti menyebabkan mereka tidak boleh bersetuju dengan pilihan pemimpin bagi menerajui blok tersebut.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan bersetuju dan berkata, beliau tidak fikir blok pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum berikutnya tanpa mencapai konsensus mengenai siapa akan jadi perdana menteri terlebih dahulu.

“Satu cara bagi pembangkang mendapatkan keyakinan daripada pengundi adalah semua parti berada di bawah khemah besar dan bagi memastikan strategi ini berhasil, semua parti perlu mempersetujui siapa yang akan mengetuai pakatan pembangkang ini,” katanya.

Oh berkata, parti pembangkang akan berdepan dengan cabaran besar, terutama dalam persaingan mendapatkan undi masyarakat Melayu, sekiranya mereka memutuskan untuk tidak bekerjasama sebelum pilihan raya.

“Pengundi Melayu di negara ini sangat konservatif dan mereka cenderung untuk mengundi Umno dan PAS,” katanya.

Tambahnya, hanya 25% daripada pengundi Melayu mengundi PH pada pilihan raya umum lalu.

“Sekiranya lebih banyak parti pembangkang kini bersaing untuk 25% itu, maka tentu sahaja ia akan mencairkan lagi undi pembangkang sedangkan Umno dan PAS masih akan mendapat 75% undi orang Melayu,” katanya.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, strategi khemah besar dapat dilaksanakan jika ia bermaksud semua parti pembangkang mematuhi prinsip asas kerjasama untuk menawan Putrajaya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai lapisan kerjasama untuk parti pembangkang seperti mempersetujui kerusi yang masing-masing akan dipertandingkan.

Beliau menyarankan agar PH memulakan perbincangan untuk menilai reaksi pihak pembangkang lain terhadap idea kerangka khemah besar dan kemudian melakukan percubaan bagi mengetahui bagaimana reaksi pengundi.

Tiada ulasan: