'Framework' British perlu modifikasi ikut konteks watan, peredaran zaman
BANGI – Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 hari ini, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mengajak pemimpin politik mengutamakan politik kenegaraan jauh melebihi politik kepartian.
Beliau berkata, pemikiran mengenai politik wajar diperbetulkan sekiranya mahu membangunkan sebuah peradaban yang mendominasi segenap aspek kemajuan dan dipandang tinggi dunia, sebagaimana yang dituntut oleh Islam serta seperti yang dibuktikan oleh generasi terdahulu.
“Tarikh 31 Ogos 1957 merupakan simbolik peralihan kuasa politik negara dari tangan British kepada anak watan negara ini. Namun, ‘framework’ yang British tinggalkan masih ada, iaitu sistem demokrasi.
“Saya sudah banyak kali mengulas tentang sistem demokrasi, terutamanya sistem demokrasi Malaysia. Secara umumnya, saya menerima sistem demokrasi tetapi perlu adanya modifikasi mengikut konteks watan dan peredaran zaman. Bukannya terlalu totok dengan sistem ini.
“Masalah kita secara umumnya setelah lebih 60 tahun mengamalkan sistem ini ialah terlalu taksub dengannya.
“Hasilnya, timbullah amalan politik kepartian yang melampau melebihi kemaslahatan kenegaraan itu sendiri. Tidak kiralah, rakyat mahupun pemimpin; ramai sudah dijangkiti ‘penyakit’ ini,” katanya.
Membuktikan dakwaan itu, Haji Aminuddin mengajak semua pihak melihat bagaimana prinsip agama, bangsa dan negara digadai demi kepentingan kepartian sepanjang tempoh lebih 60 tahun kemerdekaan ini.
Pasti ada peristiwanya; baik kerajaan, pembangkang mahupun penyokong-penyokong (rakyat).
“Tidak usah pergi jauh pun, lihat sahaja tahun ini. Dua minggu politik negara bergolak tatkala rakyat sedang tenat menghadapi pandemik. Semuanya berpunca kerana pergaduhan antara kem-kem parti politik. Akhirnya, tiada apa sangat pun yang berubah.
“Ketika itu, jangankan jawatan di kementerian tetapi jawatan-jawatan GLC, agensi-agensi dan pelbagai lagi diperlakukan seperti barang mainan yang boleh dicampak-campak ke tepi sahaja.
“Semuanya atas semangat kepartian padahal awalnya dulu kata jawatan tersebut adalah demi berkhidmat kepada negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan