Pemimpin politik dikalangan parti yang berada dalam kerajaan kini mengintai peluang kekosongan jawatan bukan eksekutif di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tumpuan pastinya kepada kumpulan Ahli Parlimen (MP) UMNO yang tidak tersenarai dalam Kabinet diumum baru-baru ini.
Penyokong kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak dilantik dalam pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan ada yang sudah kecewa dan terasa hati kerana dipinggirkan.
Untuk rekod, hanya dua MP UMNO iaitu Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Noraini Ahmad yang berada dalam kem Zahid diambil sebagai Menteri penuh, selebihnya tercicir daripada senarai Kabinet baharu tersebut.
Dalam UMNO kini sudah terbahagi kepada dua kumpulan, kem Zahid dan kem Ismail Sabri, bagaimanapun kedua-dua masih cuba menjaga hubungan baik demi mengelak krisis dalaman berpanjangan berterusan yang akan mengakibatkan perpecahan lebih teruk.
Semasa penentangan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa pemimpin UMNO yang berada dalam Majlis Tertinggi parti itu bertindak meletak jawatan dalam kerajaan terdahulu sebagai tanda bantahan mengikut keputusan pucuk pimpinan parti yang menarik sokongan, antaranya Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan beberapa individu lain.
Namun, sejurus pelantikan Ismail Sabri sebagai PM baharu kesembilan dan pengumuman barisan Kabinet, pemimpin yang meletak jawatan sebelum ini mula mengintai untuk dilantik masuk semula ke GLC demi survival politik masing-masing.
Berbeza ketika era Muhyiddin, PM yang baharu adalah dipilih dari parti UMNO dan usaha untuk melobi pasti lebih terbuka luas kepada pemimpin parti yang berhajat untuk berjawatan besar.
Pasti Ismail Sabri akan lebih mengutamakan mereka yang berkelayakan dari UMNO, ia juga penting sebagai menjaga keseimbangan dan kestabilan kedudukannya sebagai PM jika mahu terus kekal lama disitu.
Agenda Daily mengenalpasti beberapa pemimpin UMNO yang mungkin menjadi pertimbangan Ismail Sabri untuk menyumbat mereka mengisi kekosongan jawatan GLC, antaranya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda, Datuk Asraf Wajdi Dusuki.
Kedua-dua mereka dikatakan menjadi pertimbangan Ismail Sabri untuk dilantik sebagai pengerusi GLC, ia memandangkan kelantangan yang sering mengkritik kerajaan terdahulu sehingga memberi tekanan kepada Muhyiddin untuk mengekalkan kerajaan pimpinannya.
Untuk rekod, terdahulu semasa pentadbiran kerajaan Muhyiddin, lebih 13 orang MP UMNO yang menjadi pengerusi pelbagai GLC selain terdapat juga yang lain dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan