Pelbagai reaksi awal diberikan sejurus pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara yang mencuri perhatian adalah dakwaan ia kerajaan ‘kitar semula’ dan terdapat juga segelintir yang mengkritik.
Cabaran yang paling getir Ismail Sabri sebenarnya adalah bertahan daripada serangan musuh politiknya sama ada dalam dan luaran, ia adalah rintangan besar bakal dihadapinya selain perang melawan pandemik Covid-19.
Sama seperti era Tan Sri Muhyiddin Yassin, segala perancangan dan strategi dalam menangani Covid-19 ada sahaja yang tidak kena pada kaca mata blok pembangkang dan bertambah parah apabila sekumpulan Ahli Parlimen (MP) UMNO yang diketuai Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat komplot bersama-sama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaik sahaja Ismail Sabri mengumumkan senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri yang akan membarisi kerajaan, Anwar paling awal memberikan serangan mula dengan mendakwa ia kononnya adalah Kabinet ‘kitar semula’ kerana hampir majoritinya terdiri daripada muka lama.
Perkara ini yang tidak difahami oleh Anwar atau pentaksubnya, kerajaan yang terbentuk ini adalah dari sokongan parti-parti yang sama berada dalam kerajaan pusat sebelum ini dan Anwar perlu sedar realitinya beliau bukannya PM.
Anwar perlu sedar diri sudah ditipu Zahid dan tidak mendapat sokongan UMNO untuk menjadi PM baharu, itu adalah fakta dan sudah menjadi sejarah yang akan dikenang selama-lamanya dalam kitab politik negara.
Adakah Anwar mengharapkan barisan Kabinet ini akan memasukkan juga pemimpin dari blok pembangkang selepas pertemuannya dengan Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri, ia mungkin angan-angan atau mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan kerana Ismail Sabri naik menjadi PM disebabkan sokongan dari parti-parti Perikatan Nasional (PN).
Sudah cukuplah memainkan retorik yang kononnya UMNO akan menyokong Anwar menjadi PM kerana sudah terbukti sekarang ini UMNO sememangnya tidak akan menyokong Anwar.
Anwar perlu menerima realiti dan berhenti dengan fantasi yang Zahid akan membawa UMNO untuk menyokongnya, faktanya beliau sudah ditipu.
Jika seseorang berputus cinta disuruhnya supaya ‘move on’ atau dalam erti kata lain ‘lupakan sahaja’, tetapi Anwar nampaknya tidak dapat ‘move on’ kerana seakan masih percaya kepada Zahid.
Berdasarkan reaksi awal Anwar, dijangkakan kemelut politik tidak mustahil akan berulang lagi kerana Presiden PKR itu masih menyimpan cita-citanya untuk menjadi PM Ke-10 pula.
Selain itu, pelantikan dua orang sahaja Menteri daripada 14 MP yang berada dalam kem Zahid memberikan isyarat Ismail Sabri tidak berkompromi dengan kehendak mereka yang dilihat akan mencalarkan imej kerajaannya nanti.
Hanya Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Noraini Ahmad yang dilantik dalam Kabinet, beberapa individu yang disebut-sebut bakal menjadi Menteri seperti Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Asraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Khaled Nordin dan banyak lagi semuanya tidak dilantik.
Untuk rekod, kumpulan 15 MP UMNO ini menjadi punca utama kepada tumbangnya kerajaan Muhyiddin sebelum ini dengan dakwaan kononnya gagal menangani Covid-19.
Muhyiddin sudah cuba meredakan suhu politik, malah sampai ke satu peringkat menawarkan kerjasama bipartisan kepada blok pembangkang tetapi ia ditolak dengan angkuhnya oleh Anwar kerana sudah geli-geli untuk menjadi PM.
Kini, UMNO kembali menjadi dominan dan berkuasa di Putrajaya, blok pembangkang sangat berharap tawaran kerjasama yang sama dibuat Muhyiddin sebelum ini juga akan dibuat oleh Ismail Sabri.
Pertemuan pemimpin Pakatan Harapan, Anwar bersama Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng yang berkunjung ke pejabat Ismail Sabri adalah isyarat jelas blok pembangkang hanya akan tunduk kepada UMNO dan tidak kepada Bersatu yang dipimpin Muhyiddin.
Bagi Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng, mereka tidak rela bekerjasama dengan Muhyiddin sebaliknya UMNO adalah pilihan utama mereka. Tetapi bagi orang lama dalam politik, ia adalah petanda pembangkang sudah hilang rasa malu sehingga sanggup berpeluk dengan musuh tradisi mereka.
Mengambilkira dinamik dan perubahan suhu politik negara yang tidak pernah turun, Ismail Sabri mungkin terpaksa berhadapan dengan tekanan sama daripada kem Zahid dan blok pembangkang diketuai Anwar dalam urusan seharian pentadbirannya.
Realitinya, Anwar masih mempercayai anak muridnya akan dapat mengangkatnya untuk menjadi PM Ke-10 walaupun sudah ditipu. Parti-parti pembangkang lain hanya akan sekadar menjadi pak turut demi memuaskan cita-cita ketua mereka walaupun turut ditipu Anwar.
Yang menjadi mangsa terpaksa melihat drama politik adalah rakyat, sudah lah ramai yang hilang pekerjaan tetapi ahli politik pula sibuk berebut kuasa untuk menunjukkan kononnya mereka lebih layak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan