HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2021

Kabinet 'kitar semula': Bagaimana nak bukti dalam 100 hari, bila gagal selama 17 bulan - Anwar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membidas pembentukan barisan kabinet oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dilabelnya sebagai kabinet 'kitar semula'.

Ini susulan pengumuman barisan kabinet pagi tadi yang hanya menyaksikan lima menteri dan empat timbalan menteri baru.

Selebihnya 26 menteri (tidak termasuk Ismail Sabri) dan 34 timbalan menteri sama ada dikekalkan dalam portfolio yang sama atau dirombak.

"Negara menghadapi krisis akibat Covid-19, yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekankan rakyat terutama golongan bawahan.

"Tetapi, langkah yang diambil (oleh Ismail Sabri) hanya dikitar semula menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan, menangani masalah ini secara berkesan," katanya secara langsung menerusi Facebook.

Anwar mengambil maklum bahawa Ismail Sabri telah memberikan tempoh 100 hari kepada menteri dan timbalan menteri untuk menunjukkan prestasi masing-masing.

Namun, dia mempersoalkan bagaimana ini akan berbeza memandangkan sebahagian besar mereka gagal tidak menunjukkan prestasi yang membanggakan ketika mereka berada di kabinet sebelum ini yang diterajui oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

"PM memberi tempoh 100 hari untuk menteri menunjukkan prestasi.

"Satu tengah tahun yang lalu, tidak ada kemajuan yang membanggakan," katanya.

Anwar seterusnya menggambarkan kabinet yang diumumkan oleh Ismail Sabri hari ini sebagai "sangat menghampakan".

Katanya bahawa kabinet yang "tidak menyakinkan" itu tidak akan dapat memberi keyakinan kepada pelabur, sama ada dalam negeri atau luar negara.

"Apa yang kita harapkan sekarang ialah satu perubahan tetapi ini tidak berlaku.

Anwar berkata pembangkang akan tetap secara lantang memantau, menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program perlaksanaan, yang lebih mantap dan berkesan untuk menangani masalah Covid-19 dan membawa pembaharuan terhadap kehidupan rakyat.

Ismail Sabri adalah naib presiden Umno yang dilantik sebagai perdana menteri pada Sabtu lalu selepas Muhyiddin letak jawatan.

Ahli Parlimen Bera dikatan agak berhati-hati dengan pemilihan hari ini kerana sokongan majoriti yang dimiliki agak tipis iaitu hampir serupa dengan yang dinikmati oleh Muhyiddin.

Menteri dan timbalan menteri yang dilantik hari ini dilaporkan akan mengangkat sumpah pada Isnin ini.

Tiada ulasan: