HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2021

Kabinet perlu tumpu usaha pulihkan negara dari Covid-19

KHAIRULANUAR YAHAYA 

JEMAAH Menteri yang mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong hari ini perlu segera memberikan tumpuan kepada usaha untuk memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, Kabinet yang baru dilantik perlu menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan selain berusaha memacu pertumbuhan ekonomi.

“Program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini telah meneria dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak Covid-19.

“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mestilah diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dalam kenyataan hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon atas pelantikan menteri dan timbalan menteri dari parti komponen PN.

Katanya, pelantikan jawatan tersebut merupakan satu amanah berat yang perlu dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalag badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.

“Maka fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.-SM

Tiada ulasan: