HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2021

ULASAN | Tiba masa merdekakan rakyat dari politik toksik

Malaysiakini

ULASAN | Enam puluh empat tahun dahulu, waktu saya berusia 14 tahun, ayah dan emak saya telah keluar rumah pukul lima pagi, pada 31 Ogos, 1957, memakai baju baru yang dibeli, dan dijahit khas untuk pergi ke Stadium Merdeka.

Mereka ingin bersama-sama dengan pembesar-pembesar negara dan ribuan rakyat jelata di situ, untuk menyaksikan penyerahan kuasa dari penjajah British, kapada kerajaan Tanah Melayu, yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan.

Saya mendengar jelas, ulasan langsung oleh pemberita Radio Malaya melalui radio kecil di rumah kami, di Gombak Setia.

Saya dengan senyap mendengar proklamasi kemerdekaan yang dilafazkan pada 9.30 pagi hari itu, yang menyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu, yang merdeka dan demokratik, telah ditubuhkan, dan bahawa telah berakhir "protectorate" British ke atas sembilan negeri Melayu, serta pemerintahan penjajahan, ke atas Melaka dan Pulau Pinang.

Buat kali kedua, selepas dilaungkan pada detik-detik selepas 12 malam sebelumnya, saya mendengar lagu kebangsaan kita, Negaraku berkumandang di Stadium Negara.

Saya berasa seolah-olah bersama-sama berada di Stadium Negara, ketika pemasyhuran kemerdekaan, lebih-lebih lagi pada detik Tunku Abdul Rahman melafazkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.

Itulah ingatan saya yang masih tersemat di hati dan fikiran, tentang Hari Merdeka.

Sebelum itu, saya mengikuti, melalui siaran Radio Malaya, tentang perbincangan rombongan Tunku di London, dan sambutan di Melaka, serta berita-berita yang berkaitan, sebelum 31 Ogos 1957.

Merdeka membawa erti yang cukup besar, akan segala potensi dan faedah yang masih pada masa itu, belum dapat dinilai.

Apa yang jelas ialah masa depan negara serta rakyat adalah cerah dan kita berpeluang membuktikan kemampuan untuk bersama-sama dalam kumpulan negara-negara yang masa itu sedang membangun.

Kita berjaya dengan pentadbiran yang berwibawa serta sokongan dan perpaduan rakyat berbilang kaum, mengatasi pelbagai liku dan pahit jerih menghadapi masalah-masalah yang terpaksa diharungi, selepas Merdeka.

Pada suatu masa, tidak lama dahulu, negara kita telah dianggap oleh dunia sebagai salah satu dari Harimau Asia.

Tetapi masa berlalu. Sekarang ini pelbagai masalah telah dan sedang mencabar rakyat. Kita menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-64 , dalam keadaan susah dan resah, tidak menentu, khuatir dan risau tentang hari esok, dan masa depan. 

Pandemik global Covid-19, membawa masalah-masalah tertentu. Tetapi masalah-masalah lain juga mengganggu-gugat, termasuk ke atas kewibawaan pentadbiran dan imej negara.

Negara memang akan terus merdeka.

Tetapi kita, rakyat, perlu memerdekakan diri kita, dari dikongkong, dibelenggu, disusahkan, oleh kelam kabut politik toksik dan haluan yang tidak menentu.

Sudah sampai masanya. Kita perbetulkan kompas negara. Kita kikis unsur-unsur negatif perosak masyarakat dan negara. Kita tetapkan semula atau 'reset' haluan kita. 

Kita pupuk kembali, nilai-nilai dan prinsip di semua lapisan masyarakat, yang boleh mengukuhkan ketahanan rakyat dan negara. Kita bina semula negara yang bermaruah dan yang dihormati.

Kita mesti merdekakan dan bebaskan negara kita ini dari gejala-gejala yang memudaratkan.  MALAYSIAKINI


(*) RAFIDAH AZIZ ialah bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 1987 ke 2008.

Tiada ulasan: