HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Ogos 2021

Kami sedang berunding perjanjian CSA dengan Ismail Sabri, kata Pua


Blok pembangkang sedang berunding dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang sama seperti ditawarkan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, dedah seorang Ahli Parlimen (MP) DAP, Tony Pua.

Pua berkata rundingan tersebut sedang berjalan dan sekiranya persetujuan dapat dicapai blok pembangkang akan mengambil pendekatan melakukan gencatan politik untuk memberi kestabilan kepada kerajaan.

“Sekiranya dia (Ismail) dapat melakukan itu, dan ini sedang dirundingkan sekarang, jika dia dapat menawarkan apa sahaja yang telah ditawarkan Muhyiddin (janji menggubal) undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dan reformasi parlimen, maka kami bersedia menawarkan gencatan politik untuk memberikan kestabilan bagi kerajaan.

“(Gencatan politik) untuk melakukan reformasi ini sebelum pilihan raya umum berikutnya,” katanya semasa bercakap dalam sebuah forum.

Forum tersebut dianjurkan oleh Oxford and Cambridge Society Malaysia dan disiar dalam Youtube.

Pua berkata yakin keputusan positif akan dapat dicapai hasil perbincangan tersebut.

Pada Rabu lepas, rombongan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Putrajaya.

Sejurus pertemuan itu, Anwar berkata pembangkang tidak mahu sulitkan sekiranya usul tersebut dibawa ke Parlimen untuk mengabsahkan kedudukannya sebagai PM ke-9.

“Kita beritahu, kalau suasana begini dan program-program adalah pro-rakyat, kita tidak mahu sulitkan (undi percaya),” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri juga mengeluarkan kenyataan bersama tiga pemimpin PH yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.

Kenyataan itu menegaskan Kerajaan bersama pembangkang mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu itu.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Ogos lalu selepas mendapat sokongan majoriti daripada 114 MP.

Bagaimanapun dia akan berdepan undi percaya ketika Parlimen bersidang semula pada 6 September ini.

Tiada ulasan: