AGENDA DAILY
Selepas pengumuman pelantikan semula Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam barisan Kabinet, majoriti warganet mengkritik hebat Ketua Wanita UMNO tersebut yang dikatakan menjadi salah seorang punca kerajaan sebelum ini jatuh.
Tinjauan dalam media sosial khususnya di laman Twitter, kebanyakkan pengguna media sosial itu menyindir Noraini yang dilantik semula walhal diketahui umum beliau antara Ahli Parlimen (MP) UMNO yang berada dalam kem Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Paling lawak Noraini resign tapi dilantik semula. Portfolio sama pulak tu,” kata @raafiqzakaria dalam ciapan di Twitter.
Orang ramai melihat keputusan melantik semula Noraini sebagai melucukan ekoran tindakannya meletak jawatan sebelum ini yang mengikut telunjuk parti khususnya Zahid.
“Tiada perkara yang lebih kelakar berbanding Noraini yang letak jawatan Menteri Pengajian Tinggi, hanya untuk dilantik semula selepas tiga minggu,” kata @mirzadaniel0711 dalam ciapannya di Twitter.
Sementara itu pengguna Twitter, @iamshahshariff pula membidas Noraini yang dilihat tidak berfungsi sepenuhnya sepanjang berada di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Noraini letak jawatan lepas itu dilantik semula jadi Menteri KPT. Dia ni bukan function (berfungsi) sangat pun,” katanya.
Untuk rekod, Noraini mengikut jejak MP Lenggong Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli terlebih dahulu, ia ekoran keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang diumumkan Zahid menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Shamsul Anuar tidak tersenarai dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Ismail Sabri hari ini mengumumkan barisan kerajaannya dengan mengekalkan jumlah 31 kementerian merangkumi 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri dengan keseluruhan berjumlah 70 orang termasuk Perdana Menteri.
Selain itu, terdapat kementerian masih kekal mempunyai dua Timbalan Menteri antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan