HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2021

Saifuddin paling tak layak pegang jawatan Menteri Luar

Ainul Illia

Menteri sama sewaktu isu ratifikasi ICERD di zaman PH

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berpandangan bahawa Datuk Saifuddin Abdullah adalah individu yang paling tidak layak memegang jawatan Menteri Luar Negeri.

Menjelaskan pandangan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, ini kerana Saifuddin turut memegang jawatan sama ketika zaman Pakatan Harapan (PH) – sewaktu hangatnya isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Usaha meratifikasi ICERD itu kemudian akhirnya menjadi isu melibatkan kaum dan menjejaskan pentadbiran PH kerana ditentang pelbagai pihak termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai lantikan barisan jemaah menteri terbaharu, Aminuddin berkata, perubahan yang dibuat sangat sedikit walaupun rakyat mengharapkan pengecilan saiz Kabinet, lantikan muka-muka baharu yang lebih bersih, berakhlak dan benar-benar berkemampuan.

“Jadi, saya berpendapat bahawa tidak banyak perubahan yang bakal terjadi, malah diteruskan sahaja apa yang dilakukan pada sebelum ini. Saya pasti rata-rata daripada rakyat berfikir begitu.

“Saya lihat, ramai sudah mula kecewa apatah lagi pergolakan politik yang berlaku nampaknya hanya membuang masa rakyat dan hanya menguntungkan pemain-pemain politik tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya antara yang paling menarik perhatian ialah jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Senator Idris Ahmad.

“Bagi jawatan Menteri Agama, saya berharap agar Idris Ahmad dapat menonjolkan imej yang lebih tegas dalam agenda syariah dan kedaulatan agama Islam di Malaysia ini. 

“Berdasarkan karakter beliau, mungkin ada sinar baharu tetapi kita tidak tahu apa yang beliau benar-benar akan laksanakan nanti,” katanya yang menerima baik pemilihan Idris sebagai menteri.

Selain daripada itu, tidak banyak perbezaan kerana hanya Menteri Kewangan sahaja yang merupakan teknokrat dan bukan dalam kalangan parti politik berbanding dahulu. 

“Nampaknya pimpinan negara masih belum bersedia ke arah itu sebagaimana banyak negara maju lain. 

“Walau bagaimanapun, saya rasa kita hanya mampu berharap agar Kabinet ini dapat berubah di bawah Perdana Menteri baharu kerana pemusatan kuasa terhadap Perdana Menteri di negara kita adalah sangat besar. Kalau melingkup, melingkuplah semua. 

“Itulah tugas dan cabaran yang sangat berat yang bakal digalas oleh Datuk Seri Ismail Sabri ketika ini, iaitu meraih kepercayaan rakyat dengan pasukan lama yang terpalit dengan pelbagai label ketika kerajaan sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh bahawa sebilangan besar daripada anggota Kabinet adalah Melayu Islam, maka semestinya agenda Melayu Islam perlu diperkasakan. 

“Saya harap agar slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang dilaungkan tidak menyebabkan mereka lupa akan hakikat ini. 

“Walaupun bercampur kekecewaan, rakyat pasti bakal menilai 100 hari pertama yang dijanjikan, sama ada KPI tercapai atau gagal. Malah, KPI setiap kementerian itu mesti diumum kepada umum,” katanya.

Tiada ulasan: