HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2021

Setiausaha Agung PKR tak puas hati hanya dua menteri dari kem Zahid

 

Hanya dua Menteri dari kem Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik dalam Kabinet baharu menyebabkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dua Ahli Parlimen (MP) UMNO, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Noraini Ahmad yang berada dalam kem Zahid dilantik menjadi Menteri penuh, malah nama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin tidak tersenarai dalam barisan kerajaan yang diumumkan hari ini.

“Juga jelas bahawa PM tidak mengambil kira pendapat MT (Majlis Tertinggi) UMNO dengan mengenepikan pimpinan utama seperti Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dan Naib Presiden Khaled Nordin,” kata Saifuddin dipetik portal Malaysiakini.

Beliau turut menyifatkan kerajaan baharu ini adalah Perikatan Nasional (PN) 2.0.

“PM akan dihantui persepsi bahawa dia memimpin kerajaan PN 2.0,” katanya lagi.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan barisan kerajaannya dengan mengekalkan jumlah 31 kementerian merangkumi 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri dengan keseluruhan berjumlah 70 orang termasuk Perdana Menteri.

Selain itu, terdapat kementerian masih kekal mempunyai dua Timbalan Menteri antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Tiada ulasan: