KOTA KINABALU: UPKO, anggota terbaru Pakatan Harapan berhasrat untuk bangkit semula menerusi gabungan pembangkang di peringkat kebangsaan selepas hampir tumpas dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang lalu, kata penganalisis politik.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, lebih baik bagi mereka menyertai gabungan itu berbanding “berdiri sendiri”.
“Mereka kalah teruk pada PRN tahun lalu dengan menggunakan logo sendiri, jadi logo PH mungkin membantu mereka mencapai prestasi lebih baik dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada FMT.
“Tetapi saya ingin tahu bagaimana UPKO akan berkempen dengan PH selepas membidas mereka dengan teruk dalam PRU14.”
Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah bersetuju dengan Lee, namun berkata, masa akan menentukan sama ada ia langkah yang baik bagi UPKO atau sebaliknya.
“UPKO sedar dengan bergerak solo, nasib mereka mungkin hampir sama dengan parti-parti kecil tempatan yang lain,” katanya.
“Dengan menganggotai PH, ia boleh memperbaiki kedudukannya semula dalam senario politik semasa dan bersedia untuk pilihan raya seterusnya.”
Bagang berkata, salah satu kesukaran yang dihadapi PH adalah melaksanakan “politik baharu” di Malaysia, yang menuntut lebih banyak pembabitan demokratik, tadbir urus yang baik dan melangkaui politik berasaskan kaum.
“Ini selari dengan penjenamaan semula UPKO yang bersandarkan kepada idea yang sama,” katanya.
Semalam, UPKO menjadi anggota keempat dan terbaru PH, yang pada mulanya menggabungkan PKR, DAP dan Amanah.
Ia mempunyai seorang Ahli Parlimen, iaitu Presidennya, Wilfred Madius Tangau (Tuaran).
Bertanding sebagai anggota Warisan Plus pada PRN September lalu, parti berkenaan, tidak seperti DAP, enggan menggunakan bendera Warisan.
Sebaliknya, ia menggunakan logonya sendiri untuk bersaing di 12 kerusi, iaitu tambahan enam kerusi berbanding yang diperuntukkan kepadanya ketika bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Bagaimanapun parti itu, yang cuba mempertahankan lima kerusi dalam PRU14, hanya memenangi satu kerusi, manakala kehilangan yang lain termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu yang ditandingi Tangau.
UPKO cuba menjauhkan diri daripada Warisan
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, penyertaan UPKO dalam PH adalah langkah taktikal untuk menjauhkan dirinya daripada Shafie Apdal, yang mana partinya, Warisan, sentiasa dituduh bersikap mesra dengan pendatang haram.
Oh berkata, ini khususnya dikaitkan dengan komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM), dan Warisan mempunyai masa serta sekali lagi cuba menghilangkan persepsi itu, termasuk tindakan Shafie yang beberapa kali menepis tanggapan itu.
Sokongan yang lemah daripada pengundi KDM, khususnya di kawasan luar bandar, menyebabkan Shafie tewas dalam PRN, katanya.
Beliau berpendapat, oleh sebab itu UPKO sedar ia perlu menjauhkan diri daripada Warisan.
“Pengundi KDM khususnya di kawasan luar bandar, bukan di kawasan bandar, tidak berapa suka dengan Shafie. Jadi jika terkait dengan Shafie, mungkin akan kehilangan sokongan daripada komuniti KDM,” katanya.
“Boleh lihat menerusi keputusan PRN Sabah dengan sebilangan besar (pengundi) daripada komuniti KDM mengundi sama ada PBS, STAR, malah Umno dan Bersatu.
“Jadi, ini adalah langkah taktikal oleh UPKO, paling tidak sebelum pilihan raya, untuk menjauhkan diri sedikit daripada Shafie. Namun, saya rasa, mereka masih akan bekerjasama jika semua menang kerusi pada PRU15.”
Bagaimanapun Oh memberi amaran, dengan menyambut penyertaan UPKO, PH kini mempunyai isu baharu untuk ditangani berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya seterusnya.
“Berapa banyak (kerusi) PKR, DAP dan UPKO akan dapat? Dan selepas itu, PH secara keseluruhannya perlu buat koordinasi dengan Shafie juga kerana ada kerusi KDM yang ditandingi Warisan, memandangkan ia adalah parti berbilang kaum.
“Langkah UPKO ini menjadi penggalak buat PH dan pembangkang kerana yang pertamanya, ia bermaksud Ahli Parlimen lihat masih ada harapan dalam PH dan sudi sertai mereka.
“Kedua, ia seumpama bukti pertama bagi konsep ‘khemah besar’ (yang diusulkan PH). Dari segi itu, ini menggalakkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan