HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2021

Usah panjangkan isu nama kerajaan baharu, fokus bantu rakyat - Annuar Musa

Bernama
Usah panjangkan isu nama kerajaan baharu, fokus bantu rakyat - Annuar Musa
Kata Annuar, fokus kini perlu ditumpukan kepada usaha membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan politik agar agenda kerajaan. -Bernama
 
KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu berhenti memanjangkan isu nama kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
 
Beliau berkata fokus kini perlu ditumpukan kepada usaha membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan politik agar agenda kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara dapat diteruskan.
 
Katanya semua pihak perlu faham bahawa kerajaan yang terbentuk sekarang adalah berasaskan permuafakatan Ahli Parlimen yang tidak mahu melihat ketidaktentuan politik dan kerajaan yang wujud sebelum ini berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
 
"Kalau kita biar negara terjebak dalam ketidaktentuan politik, politik yang berlarutan serta ketidaktentuan kerajaan, rakyat akan rugi.
 
"Sebab itu saya kata cara paling baik ialah tidak usah panjangkan tentang isu nama, kita tumpukan kerja kepada rakyat," katanya ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin politik berbeza fahaman berkaitan nama kerajaan baharu yang terbentuk ketika ini.
 
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita pada Malam Kasih Merdeka anjuran Rumah Prihatin@Hotel Grands Seasons sempena Hari Kebangsaan ke-64 di sini pada Isnin.
 
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.-- BERNAMA

Tiada ulasan: