Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari
KUALA LUMPUR – Tambahan dua hari persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang sepatutnya berlangsung selama 15 hari adalah bagi memberi laluan kepada hal-hal atau usul kerajaan yang perlu diselesaikan pada tambahan hari tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azhar sebelum ini memaklumkan sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 September hingga 30 September depan.
Bagaimanapun menerusi notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin semalam, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 itu dipinda kepada 13 September hingga 12 Oktober dan akan berlangsung selama 17 hari.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen turut berkongsi notis berkenaan menerusi media sosial masing-masing.
Azhar dalam pada itu turut memaklumkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat, Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat sememangnya mempunyai budi bicara untuk menukar tarikh persidangan sekiranya beliau fikirkan sesuai. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan