HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Ogos 2021

Sarawak tiada masalah dengan Kabinet baharu - Abang Johari

Bernama
Sarawak tiada masalah dengan Kabinet baharu - Abang Johari
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak berterima kasih kerana wakil rakyatnya telah dilantik semula sebagai menteri dan timbalan menteri di dalam kabinet. - Gambar fail
 
MUKAH: Sarawak tidak mempunyai masalah dengan barisan kabinet Persekutuan baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
 
Malah menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sarawak berterima kasih kerana wakil rakyatnya telah dilantik semula sebagai menteri dan timbalan menteri di dalam kabinet.
 
"Apa yang penting bagi Sarawak ialah adanya sebuah kerajaan yang stabil bagi meneruskan usaha melawan COVID-19 melalui Program Imunisasi Kebangsaan," katanya.
 
Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Akademi Minyak dan Gas dan Akademi Nipah dan Pertanian Pusat Kecemerlangan Teknikal (Centex) Kampus Mukah di sini, hari ini.
 
Semalam Perdana Menteri mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat.

Sebanyak empat menteri dan enam timbalan menteri dari Sarawak telah dilantik menyertai kabinet.
 
Sementara itu, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, yang menjadi atlet negara pertama meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik dalam kategori 72 kilogram (kg) hari ini.
 
"Kita (kerajaan negeri Sarawak) akan beri insentif (pada Bonnie) tetapi jumlahnya akan ditentukan, selain itu kerajaan Malaysia juga ada menyediakan insentif untuk para atlet negara," katanya.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: