HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2021

Saf Kabinet kembali semula keyakinan rakyat

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri akan memastikan barisan Kabinet baharu komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membolehkan aktiviti ekonomi dibuka secara berfasa untuk membolehkan rakyat bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

Katanya barisan kabinet tersebut dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Barisan Kabinet juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,” katanya ketika mengumumkan jemaah Kabinet pada siaran langsung hari ini.

Ismail Sabri pada Sabtu lepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan ekoran hilang sokongan majoriti.

Menurut beliau juga barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab dengan komited dan lebih proaktif.

“Saya berharap pelantikan kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik.

“Saya akan pastikan kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi,” ujarnya.

Justeru itu kata beliau setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Kata beliau juga barisan kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

“Kabinet perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya,” kata beliau. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: