HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2021

UMNO, Zahid dan Najib ‘restu’ Kabinet Ismail Sabri? Kenapa diam?


Mungkin tergamam. Dua orang kuat UMNO – Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak – masih tidak memberikan sebarang ulasan terhadap barisan Kabinet baharu yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pagi tadi.

Tidak seperti kebiasaan kedua-duanya akan pantas memuat naik status dan ulasan dalam Facebook jika ada pengumuman dibuat kerajaan sebelum ini. Demikian juga penyokong kuat mereka bekas wakil rakyat, Puad Zarkashi, masih diam hingga sekarang.

Namun hari ini, mereka diam walaupun Perdana Menteri membuat pengumuman kira-kira jam 11 pagi tadi. Sehingga berita ini ditulis tidak ada ulasan dibuat Zahid, dan Najib. Mungkin Zahid masih keletihan setelah dirawat di hospital kerana sakit belakang, tatkala perbicaraan kes jenayahnya disambung di mahkamah.

Cuma Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan sahaja memberi sedikit ulasan. Itupun berharap Kabinet baharu memerangi pandemik Covid-19. Tiada ucapan tahniah.

Berbeza dengan blok pembangkang, mereka terus membuat ulasan terhadap senarai Jemaah Menteri baharu itu.

Sehingga petang ini, semakan Agenda Daily mendapati bukan sahaja kedua-duanya tidak membuat sebarang ulasan di dalam Facebook masing-masing, malah UMNO sendiri juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sehubungan itu, andaian boleh dibuat bahawa UMNO dan kedua-dua pemimpin parti itu menerima dengan hati terbuka pelantikan yang dibuat oleh Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Atau, mungkin juga UMNO, Zahid dan Najib kecewa tidak ada Kluster Mahkamah atau golongan kleptokrasi yang diangkat membarisi Kabinet Ismail Sabri, sebagaimana kekecewaan yang diluahkan blok pembangkang.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana hanya dua anggota kem Zahid iaitu Ahli Parlimen (MP) UMNO, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Noraini Ahmad dilantik menjadi Menteri penuh.

Noh dilantik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Noraini – ahli Blok 15 UMNO yang menarik diri menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meletak jawatan Menteri Pengajian Tinggi – diberi peluang kedua untuk jawatan sama.

Demikian juga beberapa MP blok pembangkang meluahkan rasa tidak puas hati selepas nama bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asraf Wajdi Dusuki tiada dalam senarai barisan Kabinet yang baharu diumumkan.

Sebelum ini, Muhyiddin telah menyatakan syarat sokongan PN kepada Ismail Sabri antaranya tidak mengangkat kumpulan Kluster Mahkamah dalam Kabinet baharu.

Muhyiddin yang mentadbir negara sejak 1 Mac 2020 meletak jawatan pada 16 Ogos lalu antaranya disebabkan berpegang kepada prinsip tidak akan campur tangan dalam kuasa mahkamah.

Beliau ketika menjadi Perdana Menteri sebelum itu didesak oleh pihak tertentu untuk campur tangan membebaskan beberapa ahli politik yang kini berdepan tuduhan jenayah membabitkan antaranya kes rasuah, melibatkan jutaan ringgit.

Rakyat tertunggu-tunggu juga apa reaksi UMNO, khususnya Zahid dan Najib yang sebelum ini mengulas bermacam-macam isu, khususnya untuk menaikan sentimen rakyat membenci Kerajaan PN.

Bagaimanapun, setakat ini hanya Asyraf Wajdi sahaja yang mengulas Kabinet baharu Ismail Sabri. Itupun beliau hanya mengulas sedikit sahaja pelantikan semula Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan. Juga tiada ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri baharu.

Asyraf sebelum ini mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya melantik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan sebagai Menteri Kewangan.

Atau, mungkin juga UMNO, Zahid dan Najib sedang menyusun satu lagi gerakan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberi tekanan kepada Ismail Sabri, setelah kecewa dengan barisan Kabinet baharu itu yang majoritinya dibarisi bekas menteri Kerajaan PN.

Tiada ulasan: