HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Ogos 2021

MP PKR bidas Selangor setuju secara prinsip projek PJD Link

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong membidas kerajaan negeri Selangor kerana bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Leong berkata walaupun syarat-syarat dikenakan ke atas syarikat konsesi, namun ia tidak dapat memadamkan hakikat bahawa kerajaan Selangor telah melanggar manifesto pilihan raya.

"Kerajaan Pakatan Harapan Selangor adalah terikat dengan janji pemansuhan tol lebuh raya. 

"Ini juga merupakan pelanggaran janji untuk tidak membenarkan mana-mana lebuh raya bertol dibuat oleh kerajaan Selangor ketika penolakan Kidex yang timbul akibat daripada bantahan kuat rakyat terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan.

Leong mengulas penjelasan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim bahawa kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link.

Izham berkata pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi pelaksanaan projek ini, termasuk mengadakan sesi ‘public engagement’ bersama penduduk setempat.

Izham berkata demikian ketika menjawab soalan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) pada persidangan DUN Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Leong berkata kelulusan bersyarat untuk projek itu bermaksud rakyat Selangor, khususnya penduduk dan perniagaan di Petaling Jaya, diminta sekali lagi untuk mengeluarkan masa, tenaga dan wang bagi menentang EIA dan SIA demi menghentikan projek lebuh raya tersebut.

"Kelulusan bersyarat ini telah menafikan tujuan janji pilihan raya.

"Dengan mengundi kepada kerajaan Pakatan Harapan, ia menjadi jaminan bahawa rakyat Selangor akan terhindar daripada kegelisahan, usaha dan perbelanjaan yang diperlukan dalam mengemukakan bantahan ke atas projek-projek lebuh raya seperti apa yang mereka terpaksa lalui semasa isu KIDEX," katanya.

Projek lebuh raya Kidex "diluluskan secara dasarnya" pada tahun 2011, manakala perjanjian konsesi ditandatangani pada tahun 2013.

Namun projek itu dibatalkan pada tahun 2015 apabila mendapat bantahan berterusan daripada penduduk di Petaling Jaya yang terjejas dengan projek lebuh raya berkenaan.

PJD Link merupakan usaha untuk menghidupkan semula projek lebuh raya Kidex.

Leong berkata, syarat bagi syarikat konsesi untuk mengadakan penglibatan awam dengan penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran tersebut hanyalah 'tugasan perhubungan awam' semata-mata.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bantahan penduduk tidak dipertimbangkan secara serius.

"Syarat tersebut dianggap telah dipenuhi dengan mengadakan mesyuarat tanpa mengambil kira bantahan yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Leong merayu kepada kerajaan negeri Selangor mengkaji semula keputusannya dalam memberikan persetujuan secara prinsip kepada projek PJD Link.

"Jika tidak, rakyat Selangor akan mempertanggungjawabkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang akan datang," tegasnya.

Selangor diterajui Pakatan Harapan dengan menteri besarnya, Amirudin Shari adalah dari PKR.

Tiada ulasan: