Tuduhan Pakatan Harapan bahawa Perikatan Nasional merupakan kerajaan yang gagal membenteras Covid-19 adalah satu pembohongan.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tugas Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyelesaikan pandemik tersebut masih belum selesai.
“Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan. Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa penamatnya.
“Khusus kepada barisan Kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas, ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan: “Biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan.” kata Abdul Hadi dalam kenyataan di media sosial.
Abdul Hadi berkata, kerakusan untuk berkuasa semula menjadi faktor Pakatan Harapan menolak tawaran kerjasama yang dihulurkan oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebelum meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Kini, meskipun agak terlewat, pembangkang menerima tawaran yang sama yang diberikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baharu.
“Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik.
“Satu keadaan yang sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.
Sementara itu Abdul Hadi menasihatkan agar kerajaan pimpinan Ismail Sabri mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina daripada semua pihak.
Kabinet baharu perlu melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada.
Kerajaan katanya, perlu melibatan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang bagi mempercepatkan proses untuk menghentikan penularan virus Covid-19.
Abdul Hadi berkata, mereka yang menjadi mangsa wabak Covid-19 tidak mengenal sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang dan kalangan yang membisu di atas pagar.
“Jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.
“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas.
“Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga,” katanya.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan