HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2021

PAS sokong pendekatan politik matang PN diteruskan Ismail Sabri


PAS menyokong pendekatan kerjasama politik rentas parti yang dipelopori Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak beberapa bulan lalu yang kini diteruskan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan parti itu berpendapat langkah diambil adalah selaras dengan realitik politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

“PAS amat bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

“Ini merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya PAS menyambut baik sokongan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.

Katanya, parti itu juga yakin dalam masa yang sama kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh, termasuk pihak pembangkang, ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk,” katanya.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang turut disertai Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Putrajaya.

Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu dilaporkan menerima pelawaan Ismail Sabri untuk bertemu di PMO langkah bagi mematuhi titah Istana Negara supaya kerajaan baru bekerjasama dengan pembangkang dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

Tiada ulasan: