HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 November 2021

595 keluar Bersatu cubaan alih isu ‘Abang Long’

MALAYSIA POST

595 keluar Bersatu cubaan alih isu ‘Abang Long’

TINDAKAN 595 ahli Bersatu keluar parti disifatkan usaha terdesak Umno untuk mengalih perhatian pengundi Melaka susulan pendedahan isu ‘Abang Long’ baru-baru ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu itu telah didedahkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa rundingan perpaduan ummah digagalkan kerana sikap ‘abang long samseng dan tamak haloba’ ditunjukkan Umno.

“Perkara itu sebagai usaha terdesak Umno mengalih perhatian pengundi daripada isu lebih besar yang didedahkan kelmarin.

“Umno perlu menjawab kepada pengundi Melaka dan rakyat Malaysia kenapa mereka bersikap Abang Long samseng tamak haloba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 595 ahli Bersatu negeri itu mengumumkan keluar parti kerana kecewa dengan kepemimpinan Bersatu.

Malah, terdapat dalam kalangan mereka menyertai Umno dan menyokong calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mengulas mengenainya, Wan Saiful menyifatkan tindakan ahli-ahli Bersatu itu adalah isu terpencil yang dibuat bagi tujuan pilihan raya.

Sebaliknya, beliau menegaskan jentera Bersatu tetap komited dengan perjuangan prihatin rakyat, politik khidmat, integriti dan anti-rasuah terus kekal bekerja keras tanpa mengenal penat lelah.

Katanya, rakyat Melaka cukup bijak menilai sama ada mereka itu hanya mahu kuasa dan harta sehingga kebajikan dan kesihatan rakyat mereka tolak tepi.

“Jangan guna strategi ubah topik untuk larikan perhatian rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: