HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 November 2021

Berapa sen Anwar sebagai rakyat bayar untuk jelaskan hutang 1MDB – Najib

MALAYSIA POST

Berapa sen Anwar sebagai rakyat bayar untuk jelaskan hutang 1MDB – Najib

DATUK Seri Najib Razak hari ini menjawab kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu sejumlah wang dan barang kemas miliknya serta hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu berkata mengenai bagaimana sejumlah wang dan barang kemas dianggar bernilai ratusan juta berada dalam milikannya dan isteri, ia telah dijelaskan banyak kali.

Malah katanya, kes itu sudah diputuskan dalam mahkamah bahawa ia bukan dari sumber 1MDB atau sumber haram, malah telah menang dua kali kes mahkamah berhubung isu tersebut.

“Malah hakim kata pihak pendakwaan sendiri juga kata ia merupakan hadiah peribadi

“Dana yang disita sebaik sahaja PRU14 berakhir adalah dana PRU14 Umno. Polis ada setiap butiran siapa yang sumbang termasuk pengakuan dari penyumbang.

“Sebab itu, hakim membuat keputusan untuk serahkan kembali pada kami. Ia wang Umno, bukan wang saya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengenai kenyataan Anwar bahawa rakyat terpaksa menanggung hutang 1MDB RM32 bilion, Najib berkata ia satu lagi fitnah.

“Berapa sen Anwar sebagai rakyat sudah bayar untuk jelaskan hutang 1MDB tersebut?

“Kenapa dalam masa 22 bulan rejim gagalkrasi (kerajaan) PH, mereka tidak pernah membayar balik atau mengurangkan satu sen prinsipal hutang ini?

“Malah dalam tempoh PH jadi kerajaan, hutang negara naik RM106.2 bilion dari RM686.8 bilion pada akhir 2017 sebelum PRU14 ke RM793 bilion pada akhir tahun 2019,” katanya.

Pada masa sama, menurut Najib, PH juga menjarah hampir RM104 bilion dari rizab tunai RM176 bilion milik Petronas yang dinaikkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari RM30 bilion.

Semalam Anwar dilaporkan berkata pihaknya terkejut dengan tindakan Kabinet menerima permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Najib yang dianggarkan bernilai RM100 juta.

Anwar mengakui terkejut dengan kenyataan itu yang dibuat Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.

“Malah beliau sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: