MALAYSIA POST
BARISAN Nasional (BN) mendakwa terdapat calon parti lawan memberi rasuah dalam bentuk wang ringgit kepada pengundi bagi meraih sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul bukti mengenai kegiatan memberi sogokan kepada pengundi.
“Ada satu laporan RM50, ada laporan beri RM100 (kepada pengundi).
“Pagi ini saya dapat laporan daripada presiden Friends of BN, beliau dapat laporan daripada JR (Jalinan Rakyat) katanya RM300 di satu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tertentu,” katanya dalam satu temubual secara langsung bersama sebuah portal berita hari ini.
Ahmad berkata, beliau berharap laporan yang dibuat disertakan sekali dengan bukti wujud kegiatan membeli undi dalam kalangan calon parti tertentu.
Beliau bagaimanapun menolak untuk mendedahkan nama parti calon yang didakwa terlibat dengan pembelian undi itu.
“Saya tidak mahu menyebut di kawasan mana tetapi percayalah kami telah menerima laporan-laporan itu.
“Ia bukan BN. Saya tidak mahu menyebut parti mana yang buat sebab kami mengumpul maklumat,” katanya lagi.
Susulan itu, Ahmad memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti isu pembelian undian di kalangan calon PRN Melaka.
“Mereka yang tidak suka perkara ini berlaku saya harap tampil ke hadapan dan mengumumkan berserta bukti-bukti supaya perkara ini dihentikan,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan