HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 November 2021

Anwar desak penjelasan isu tanah Najib, tak puas hati juga

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak berpuas hati berhubung isu pemberian hartanah RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Razak dan mendesak penjelasan daripada kerajaan.

Di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata walaupun Najib sudah menarik balik permohonan, pihak kerajaan digesa memberi penjelasan mengapa begitu mudah keistimewaan tersebut diberikan walhal sebelum ini blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

“Jadi, kita minta menteri (kewangan) beri penjelasan apa yang berlaku memang kita tahu ada dalam undang-undang (peruntukan kepada bekas Perdana Menteri-PM) tetapi kita nak tahu berapa yang diperoleh dan mengapa Jemaah Menteri boleh setuju dengan mudah kemudahan diberikan walaupun Jemaaah Menteri sebahagian besar dari parti Melayu dan Islam,” katanya semasa perbahasan.

Menurut Anwar, imbuhan terlalu tinggi kepada bekas PM itu akan memberi beban kepada kewangan negara.

“Saya percaya kalau ikutkan pengalaman tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, orang-orang ini tak perlu imbuhan, ini berbeza dengan yang lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.

Permohonan tersebut menurut portal MalaysiaNow sudah menerima kelulusan daripada kerajaan namun dibantah menteri dan pegawai kanan.

Difahamkan Najib membuat permohonan tersebut setahun selepas digulingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 dan sekali lagi tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau disabitkan bersalah bagi kes rasuah melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan pendedahan tersebut, bekas PM dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik dan membidas kerajaan kerana memberikan keistimewaan tersebut kepada Najib kerana berstatus banduan selepas disabitkan hukuman jenayah dan sedang dalam proses rayuan.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

Tiada ulasan: