HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 November 2021

Bebas Ku Nan, PH kecam Peguam Negara dan mahu batalkan MOU

Pakatan Harapan (PH) mengecam Peguam Negara (AG) Tan Sri Idris Harun selepas laporan pihak pendakwaan akan membatalkan rayuan bagi pengguguran kes rasuah RM2 juta terhadap pemimpin UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor atau dikenali Ku Nan.

Dalam satu kenyataan Majlis Presiden PH, keputusan AG tersebut dilihat sama sekali membelakangkan Memorandum Persefahaman (MOU) yang dipersetujui dengan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mereka akan mengkaji semula untuk membatalkan perjanjian tersebut.

“Majlis presiden juga akan meneliti kemungkinan tindakan AG ini melanggar Perjanjian MOU di antara PH dan Kerajaan, khususnya perkara empat berhubung kebebasan institusi kehakiman,” kata kenyataan tersebut ditandatangani pemimpin utama parti-parti komponen PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Terdahulu minggu lalu, pihak pendakwaan dilaporkan menarik balik rayuan yang difailkan beberapa hari selepas bekas Setiausaha Agung UMNO itu dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Julai, mengubah keputusan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Disember 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mendapati Ku Nan bersalah bagi pertuduhan rasuah kerana menerima sejumlah RM2 juta daripada pengarah urusan Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong sekali gus memberikan penghakiman hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap bekas menteri itu.

Tengku Adnan didakwa menerima RM2 juta daripada pengarah urusan syarikat, namun mahkamah rayuan memutuskan jumlah itu adalah derma kepada Umno bagi perbelanjaan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

PH dalam kenyataannya menyatakan rasa terkejut terhadap tindakan untuk tidak meneruskan rayuan bagi pengguguran kes Ku Nan selain sekali lagi menggesa Idris meletakkan jawatan.

Kenyataan hari ini juga adalah susulan ancaman pemimpin PH sebelum ini yang berkata mereka akan menyemak semula MOU dengan kerajaan ekoran kekecohan hadiah rumah bernilai RM100 juta kepada bekas PM Datuk Seri Najib Raza.

Ekoran kecaman ramai, Najib mengumumkan beliau menarik balik permohonan rumah kediaman tersebut.

Putrajaya dan PH menandatangani MOU pada 13 September lalu yang menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persefahaman dalam beberapa aspek bagi mencapai kestabilan politik dalam negara.

Melalui MOU itu kerajaan menjanjikan beberapa pembaharuan termasuk reformasi Parlimen, Undi18, had jawatan seseorang PM dan kebebasan badan kehakiman.

Sebagai balasan, PH yang menjadi blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat akan menyokong atau berkecuali dalam undian Bajet 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya.

Ia dengan syarat penggubalan belanjawan dan rang undang-undang (RUU) yang berkaitan dengannya dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan PH.

PH juga akan menyokong atau berkecuali dalam sebarang RUU yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya, dengan syarat perangkaannya turut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Tiada ulasan: