KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kadzim M Yahya, berpendapat Akta Anti Lompat Parti mungkin boleh dilaksanakan jika wakil rakyat yang melompat itu dibenarkan bertanding semula selepas mengosongkan kerusinya.
Katanya, mengikut peruntukan undang-undang yang ada ketika ini, wakil rakyat yang mengosongkan kerusi dimenangi mereka tidak dibenarkan bertanding semula dalam tempoh lima tahun.
“Apa yang dicadangkan dalam Akta Anti Lompat Parti ialah apabila wakil rakyat itu dipecat, letak jawatan atau meninggalkan parti, kerusi dimenanginya (pada pilihan raya) secara automatik akan dikosongkan dan ia akan menghentikan seseorang itu menyertai parti lain.
“Kemungkinan, Akta Anti Lompat Parti ini berjaya jika seseorang itu meninggalkan parti selepas memenangi pilihan raya dan menyertai parti lain, jadi ia mandatori untuk wakil rakyat itu mengosongkan kerusi dan bertanding semula,” katanya ketika ditemui di DUN Sabah.Kadzim berkata, ketika ini jika wakil rakyat mengosongkan kerusi, mereka tidak boleh bertanding pada pilihan raya selama lima tahun.
Beliau berkata, jika Akta Anti Lompat Parti ada mandatori untuk mengosongkan kerusi, adakan juga mandatori untuk mereka boleh bertanding semula, jadi parti yang mengambil wakil rakyat itu akan meletakkannya semula untuk bertanding.
“Sama ada dia popular atau tidak, ia terpulang kepada pengundi. Jadi ia bukan lagi boleh dikatakan mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Kadzim juga berpendapat, seseorang wakil rakyat yang keluar daripada parti diwakilinya pada pilihan raya dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat mesra kerajaan juga perlu mengosongkan kerusinya.
Bagaimanapun, katanya wakil rakyat berkenaan perlu dibenarkan untuk bertanding semula.
“Jika seorang wakil rakyat (pembangkang) itu keluar daripada parti diwakilinya pada pilihan raya dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas, dia tidak perlu mengosongkan kerusinya kerana kita tidak boleh halang dia untuk menjadi wakil rakyat bebas, dia boleh terus kekal sebagai bebas dan jika ada undian di dewan dia mengundi kerajaan, ia terpulang.
“Bagaimanapun, pada saat ketika dia umum keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, tetapi mengatakan yang dia mesra kerajaan, itu sudah menampakkan niat dia mahu bertukar kepada kerajaan, jadikan ia mandatori (kosongkan kerusi) tapi benarkan dia bertanding semula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan