ALOR SETAR: Blok pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini menegur sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang masih suka bergurau sesuka hati sehingga memberi kesan negatif kepada negeri ini.
Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, beliau juga telah beberapa kali membuat teguran kepada Muhammad Sanusi yang mengeluarkan kenyataan, cara dan sikap yang dikhuatiri melebihi had.
“Kita memang akan menegur Menteri Besar Kedah dan ia merupakan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah, langkah menegur Menteri Besar Kedah tidak pernah berhenti memandangkan apa sahaja yang kenyataan dikeluarkan beliau (Muhammad Sanusi) melambangkan Kedah dan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ADUN pembangkang sempena sidang DUN Kedah Ke-14 di sini hari ini.
Sementara itu, ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, beliau mengakui ketika menjadi bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga memiliki perbezaan pandangan dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun katanya, beliau menjawab dengan lebih berhemah dan ‘rule of law’ bukannya menjawab seperti netizen.
“Muhammad Sanusi sepatutnya menjawab dalam berhemah dan berfakta bagi menunjukkan nilai bahasa dengan pihak istana yang lebih baik bukannya berlandaskan emosi dan sentimen,” katanya.
Dalam Facebook milik Muhammad Sanusi hari ini, beliau menyatakan hidangan cekodok pisang dan cekodok bilis tetap menjadi pilihannya berbanding hidangan makanan segera, McDonald’s.
Beliau yang juga Presiden KFA berkata demikian selepas menerima hidangan McDonald’s dan jambangan bunga daripada pemilik kelab JDT, Tunku Ismail.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau lebih berselera dengan makan bahan tempatan yang segar berbanding burger dan ayam daging.
“Coqkodok pisang dan coqbilih kucai tetap menjadi pilihan walaupun ada setambun McD di depan…
“Selera bahan tempatan yang segar tak mungkin dapat direntap burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar,” tulis Muhammad Sanusi.
Semalam, Tunku Ismail memberi buah tangan hidangan itu sebagai respons balas susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang mengejek baginda berhubung soal diet.
“No diet? One way to keep a Clown happy. McDonalds…Always work. (Tidak diet? Dalam perjalanan untuk Badut gembira. McDonalds sentiasa berfungsi,” tulis baginda menerusi Instastories.
Pada Isnin, Muhammad Sanusi mengusik Tunku Ismail menerusi media sosial selepas JDT terikat seri tanpa jaringan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 0-0 di Stadium Darul Aman, Kedah, Ahad lepas.
“Diet sakan pun tak leh menang jugak… tertomos (tertumus) pulak…adeh!!,” tulis Muhammad Sanusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan