MALAYSIA POST
VETERAN DAP Lim Kit Siang mendakwa tindakan PAS mengharamkan perjudian di Kedah dan membangkitkan isu arak, telah melanggar prinsip Rukun Negara.
Sehubungan itu, Kit Siang berkata, beliau berharap pengundi di Melaka menolak calon PAS, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kerana tidak setia terhadap prinsip Rukun Negara.
Katanya, tindakan tersebut adalah salah, ekstremis dan tidak bertolak ansur kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya.
“Malaysia adalah pertemuan empat tamadun besar manusia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat. Kita mesti memanfaatkan nilai dan kebaikan empat tamadun besar ini yang terdiri daripada agama-agama besar dunia sama ada Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Taoisme atau Sikkhisme.
“Kita negara Asia, yang bukan sahaja harus menjadi tarikan pelancong di seluruh dunia ke Malaysia, tetapi harus menjadi intipati kehidupan di Malaysia.
“Jadi, mengapakah rakyat Malaysia harus bertelagah mengenai agama yang berbeza atau masa lampau tamadun mereka, dan bukannya mengamalkan sikap toleransi terhadap pelbagai agama, budaya dan tamadun untuk mewujudkan sebuah negara besar bertaraf dunia?,” katanya menerusi blog miliknya, hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, disebabkan itu, Malaysia mempunyai lima prinsip Rukun Negara dalam membina negara bangsa untuk mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Selain, memelihara cara hidup demokratik untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, serta menjamin pendekatan liberal terhadap warisan tradisional kita yang pelbagai dan kaya bagi menuju ke hadapan ke arah masyarakat progresif,” katanya.
Isnin lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kerajaan negeri itu menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuatkuasa serta-merta.
Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi
mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan