MENJELANG pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, Barisan Nasional (BN) dilihat mendahului berbanding Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN).
Dapatan ini terkandung dalam ringkasan eksekutif Pola Pengundian dan Prediksi PRN Melaka Ilham Centre berdasarkan kajian mereka di lapangan.
Mengakui PRN Melaka antara pilihan raya paling sukar untuk membuat bacaan ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), Panel Penyelidik Ilham Centre meletakkan kemenangan BN bergantung kepada dua situasi.
Pertama, kadar peratusan pengundian esok dan kemampuan PN memecah dominasi undi Melayu yang selama ini dimiliki BN.
Kata pusat itu, jika kadar peratusan mengundi tinggi seperti mana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mencecah 84.7 peratus, PH sebaliknya lebih berpeluang menang.
Dalam kajian mereka, Ilham Centre meramalkan sekiranya peratusan keluar mengundi di bawah 80 peratus, kelebihan akan berpihak kepada parti yang mempunyai ahli teras yang kuat.
“Tinggi atau rendahnya peratusan keluar mengundi ini akan menjadi penanda aras kalah menang sesuatu parti,” kata Ilham Centre.
Menurut mereka, saingan tiga penjuru melibatkan tiga gabungan utama dalam PRN Melaka ini pada awalnya memberi bayangan bahawa PH akan mampu mengulangi kejayaan PRU-14.
Kata kajian itu, namun ia tidak semestinya diterjemahkan seperti bayangan tersebut kerana kemenangan PH pada 2018 adalah kerana sumbangan undi bukan Melayu yang tinggi hingga mencecah 89 peratus.
Selain itu, terdapat ayunan undi pengundi Melayu setelah BN dibayangi isu nasional seperti 1MDB serta Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018 dan ini adalag perbezaan antara PRN Melaka dan PRU-14.
Kata Ilham Centre, namun PH masih ada peluang menang minimum 15 kerusi DUN andai peratusan mengundi tinggi, limpahan pengundi Cina pada tahap maksimum dan menerima undi Melayu pada kadar signifikan.
“Andai kata hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka,” katanya.
Pada cerapan Ilham Centre, BN mempunyai 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi iaitu Ayer Limau, Sekam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.
Kata kenyataan itu, PH pula selesa di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Seterusnya, pusat kajian itu menjelaskan terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebab persaingan sengit antara calon dan itu terletak pada taktikal untuk menambat pengundi.
“Kawasan tersebut ialah Asahan, Klebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek,” ujarnya.
Menurut Ilham Centre, BN perlu mencari sekurang-kurangnya empat DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk memperoleh jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan.
“PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjung Bidara, Rembia dan Bemban,” katanya.
Sekali lagi kata Ilham Centre, BN mendahului dan jika peratusan keluar mengundi tidak melebihi 80 peratus serta PN tidak berupaya mecah dominasi undi Melayu dimiliki BN, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan