MALAYSIA POST
TINDAKAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sedar gabungan itu dijadikan ‘bahan mainan’ Umno telah menyerlahkan sifat hipokritnya.
Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata sebenarnya Anwar dan PH sudah menggadaikan prinsip perjuangan mereka demi kepentingan agenda peribadi semata-mata.
“Sesungguhnya, Anwar Ibrahim tidak perlu ‘sembang kari’ kerana semua pemimpin-pemimpin PH telah sedar mereka dijadikan bahan mainan saja oleh pemimpin-pemimpin Umno.
“Hakikatnya, kerajaan Umno pun tidak pernah beri muka kepada Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin PH selama ini dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
“Sebab itulah setiap hari pemimpin-pemimpin PH berbalah dengan pihak BN serta PN di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairuddin menjelaskan, rakyat Malaysia dapat melihat hipokrasi Anwar dan PH yang telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan yang ditunjang Umno.
“Bukan Anwar Ibrahim dan PH tidak tahu perangai pemimpin-pemimpin Umno yang tidak pernah belajar dari kesilapan lama.
“Pemimpin-pemimpin Umno yang masih berpaksikan kepada ketua-ketua kleptokrats mereka hanya mahu mengekalkan kuasa untuk agenda politik peribadi,” katanya.
Beliau menambah, dulu Anwar dan PH mengutuk ‘Langkah Sheraton’ kononnya menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Takkan Anwar Ibrahim dan PH tidak kenal dengan perangai pemimpin-pemmpin Umno yang senantiasa salah guna kuasa bila dapat kuasa.
“Kini, Anwar Ibrahim serta PH sanggup memeterai MoU dengan sebuah kerajaan yang ditunjang oleh Umno dan sanggup memberi ‘tali hayat’ kepada kerajaan masa kini untuk terus berkuasa.
“Tokoh-tokoh pemimpin dalam Kabinet pada hari ini adalah orang yang sama dalam barisan kabinet selepas ‘Langkah Sheraton’ takkan Anwar Ibrahim mahupun PH tidak menyedarinya,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan