Shafik Ahmad

Abdul Karim berkata, secara teknikalnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar secara rasmi.
KUCHING:
Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak boleh diadakan dalam 60 hari bermula
hari ini susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong menamatkan Proklamasi
Darurat bagi Sarawak, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelas
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, secara
teknikalnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar secara rasmi.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan mesyuarat untuk writ dan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak.
"SPR
juga perlu mengadakan pilihan raya negeri dalam 60 hari bermula hari
ini termasuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi,"
katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Selain
itu, Abdul Karim berkata, SPR juga perlu menentukan garis panduan dan
prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan PRN itu kelak termasuk
proses pengundian.
Hal ini katanya, penting kerana Sarawak masih dalam fasa pandemik COVID-19.
Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak
ditamatkan.
Menurut Pemangku Datuk
Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Azuan Effendy
Zairakithnaini, perkenan Seri paduka baginda terhadap penamatan
Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan
40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Perlu
diperjelaskan di sini bahawa Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat
(Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan
lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang
Dipertua Negeri Sarawak.
Untuk rekod,
penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu
namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi
Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa
Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan