HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 November 2021

Fahmi pertahan Anwar letak calon ‘katak’, PKR kalah kerana sekatan kempen


Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mempertahankan langkah bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil calon ‘katak berprinsip’ bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun tewas teruk baru-baru ini.

Fahmi berkata kekalahan PKR di semua kerusi adalah disebabkan sekatan berkempen yang dikenakan dalam PRN kali ini dan bukan kerana keputusan Ketua Pembangkang itu meletak calon ‘katak’ bertanding, disamping menegaskan tidak wajar Anwar dipersalahkan.

“Ini tidak benar, boleh jadi disebabkan faktor jentera dan kekuatan parti antara kawasan bandar dan luar bandar. Apa yang perlu diperbaiki adalah gerak kerja kami kerana cara parti-parti berkempen secara maya pun salah satu punca mengapa sukar untuk kami memperkenalkan calon.

“Kempen digital di kawasan bandar memang berkesan, tetapi bukan di luar bandar kecuali pengundi yang mengundi di kawasan luar bandar ini tetapi bekerja di dalam bandar,” katanya dipetik dalam laporan Utusan Online.

Untuk rekod, Anwar mengambil keputusan untuk mengambil dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO untuk bertanding pada PRN Melaka, bagaimanapun kedua-dua mereka tewas.

Ujarnya lagi, undi pecah juga menjadi faktor penyumbang kekalahan Pakatan Harapan (PH) yang mengakibatkan mereka gagal memperoleh kemenangan.

“Ada banyak sudut yang perlu diambil kira untuk kita memahami apa yang berlaku selepas hari mengundi.

“Mungkin juga ada undi yang berpecah yang menyebabkan kemenangan tidak memihak pembangkang seperti di Pengkalan Batu. Kehadiran bekas penyandangnya, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) juga telah mengambil undi yang sepatutnya pergi ke DAP,” katanya lagi.

Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Melaka mencatatkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga menyaksikan UMNO menang 18 kerusi, diikuti MCA (2) dan MIC (1) manakala PH hanya menang lima kerusi iaitu DAP lima kerusi, Amanah (satu kerusi) dan PKR tewas semua kerusi.

Perikatan Nasional-Bersatu pula hanya menang dua kerusi manakala PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan parti-parti politik bebas juga gagal merebut sebarang kerusi yang ditandingi.

Tiada ulasan: